Projek Kondo Mewah: DBKK Enggan Patuhi Arahan Central Board

Wednesday, 26 March 2014

Projek tetap jalan walaupun tiada kelulusan
KOTA KINABALU: Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Abidin Madingkir enggan membuat sebarang kenyataan dan “menyerahkan kepada pihak mahkamah” membuat keputusan berhubungan dengan kelulusan projek kondominium mewah 15 tingkat di Signal Hill.

Pembangunan kondominium mewah itu mendapat perhatian umum apabila pihak DBKK dikatakan masih memberikan kebenaran pembinaan kepada pemaju walaupun diarahkan oleh Lembaga Pusat Perancangan Bandar dan Wilayah (Central Board) supaya menolak pelan pembangunannya.

Permohonan semakan mahkamah (judicial review) telah dihantar oleh tiga pemilik rumah berhampiran berhubung dengan kegagalan DBKK mematuhi arahan Central Board untuk menolak kelulusan pelan pembangunan kondo mewah 15 tingkat di Signal Hill.

Ketika ditanya tentangan pembinaan kondo mewah di Taman Sri Gaya, Abidin juga menjelaskan, bahawa kebenaran diberikan selepas perbincangan teliti yang mendapati tidak ada apa apa masalah dalam permohonan pembinaan kondo mewah setinggi 30 tingkat itu.

“Segala permohonan telah dirujuk kepada pihak kepentingan dan jabatan yang berkaitan dan segalanya adalah dalam keadaan teratur,” katanya.

Jawatankuasa tindakan Penduduk Taman Sri Gaya dan Persatuan Ibubapa SK Sri Gaya, sebelumnya telah menjemput pihak pemaju, DBKK, jabatan kerajaan berkaitan dan Adun Luyang Hiew King Cheu ke sesi dialog pada 4 April 2014 di dewan SK Sri Gaya untuk menjelas sebab kebenaran tersebut diberikan.

Mohan Singh Ramsay, pengerusi Jawatankuasa tindakan tersebut berkata akan membuat permohonan mahkamah menghentikan pembinaan tersebut sekiranya pihak berkaitan gagal datang dan memberikan penjelasan yang sewajarnya mengenai keputusan mereka.

Selain itu, Adun Likas Junz Wong dalam sebaran medianya di email, mendedahkan penyalahguna kuasa oleh pihak berkuasa dalam perutusan surat di antara Pejabat Peguam Negeri (State Attorney General), Central Board kepada pihak DBKK yang diperolehnya.

Surat yang bertarikh 13 Jun and 17 Jun 2013 kepada DBKK menjelaskan kebenaran pelan pembinaan bangunan di Signal Hill telah melanggar undang undang kerana gagal mematuhi keperluan ruang antara bangunan (setback), penilaian semula pelan kebenaran (planning approval revalidation), isu zon (zoning) dan lain lain, menurutnya.

Oleh itu, satu pertemuan khas telah diadakan oleh Central Board pada 26 Julai 2013 yang memutuskan membatalkan kebenaran pelan pembangunan tersebut dan mengarahkan DBKK untuk menarik balik kebenaran pelan pembinaan pada surat yang bertarikh 5 Ogos 2013.

Namun, pihak DBKK gagal mengikuti arahan tersebut dan membenarkan pihak pemaju menyambung kerja pembinaan kondo mewah 15 tingkat tersebut sehingga kini.

Keputusan DBKK untuk tidak bertindak telah melanggar Ordinan Perancangan Bandar dan Wilayah (Sabah Cap 141), melanggari Deraf Pelan Berkanun untuk permohonan pembangunan di Kota Kinabalu dan meluluskan pembinaan tanpa kebenaran dari Central Board.

Menurut Junz, DBKK diperlukan untuk mendapatkan kebenaran dari Central Board sebelum ia memberikan kebenaran bertulis kepada sesiapa untuk membangunkan tanah, membina dan meroboh bangunan dalam seksyen 15(2) Ordinan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah.

FMT Borneo Plus

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.