Perbezaan elaun guru sehingga RM630!

Tuesday, 25 March 2014

Isu mengenai elaun guru dari Sabah dan Sarawak sudah lama dibangkitkan

Persoalannya, apa pula nasib guru-guru kita yang ditukarkan ke Semenanjung Malaysia apabila ditugaskan ke bandar-bandar besar yang kos hidup jauh lebih tinggi.

TENOM: Tidak adil! Begitulah luahan ramai guru dari Sabah dan Sarawak yang ditukar mengajar di sekolah-sekolah di semenanjung. Mereka mahu kerajaan memberi perhatian dan sekaligus menyelesaikan masalah mereka itu dengan segera.

Sebabnya ialah, perbezaan elaun di antara RM280 dan RM630 yang diterima guru-guru dari Sabah dan Sarawak. Ia adalah jumlah yang besar.

Apabila guru-guru Sabah dan Sarawak ditukar merentasi Laut Cina Selatan untuk mendidik pelajar di negeri-negeri di Semenanjung, mereka terpaksa mengeluarkan lebih banyak belanja berbanding guru-guru semenanjung yang datang di Sabah.

Elaun perumahan yang disediakan oleh kerajaan tidak seragam di mana guru-guru semenanjung menerima lebih banyak imbuhan itu berbanding guru-guru di Sabah dan Sarawak yang ditukar ke semenanjung.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar mengkaji dan menyeragamkan semula kadar elaun perumahan wilayah (EPW) yang menjadi punca rasa tidak puas hati guru-guru dari Sabah dan Sarawak.

Elaun Perumahan Wilayah (EPW) adalah imbuhan yang menggantikan kemudahan Kadar Sewa Rumah bagi pegawai yang bertukar wilayah.

“Guru juga adalah antara golongan yang merasa tempias dengan kenaikan kos sara hidup yang kian meningkat,” kata Ahli Parlimen Tenom, Datuk Raime Unggi, dalam ucapan perbahasannya di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Beliau berkata, perbezaan kadar elaun menjadi isu yang merunsingkan tenaga pengajar dan mereka berasa tidak puas hati kerana kemudahan itu diberi tidak selaras dan tidak setimpal dengan masalah yang dihadapi.

“Berdasarkan maklumat yang saya dapat, EPW yang diterima oleh guru gred G52-G54 dari Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak adalah sebanyak RM1,200 hingga RM1,300. Manakala guru gred yang sama dari Sabah dan Sarawak yang bertugas ke Semenanjung pula menerima EPW lebih rendah iaitu di antara RM900 dan RM1,100. Perbezaan nilai elaun adalah di antara RM200 dan RM400 sebulan,” katanya.

Bagi G48 pula, EPW yang diterima oleh guru dari Semenanjung untuk berkhidmat di Sabah dan Sarawak ialah di antara RM1,030 dan RM1,130 tetapi guru dari gred yang sama yang bertugas di Semenanjung menerima hanya RM900 dan RM1,100.

Perbezaan elaun adalah di antara RM330 dan RM430 sebulan.

Bagi gred yang lebih rendah, gred G44 dari Semenanjung, mereka menerima di antara RM730 dan RM830 elaun manakala guru dari Sabah ke semenanjung diberi hanya RM200 dan RM550. Perbezaannya ialah di antara RM280 dan RM630.

Menurut Raimie, alasan yang sering mereka dengar mengenai perbezaan pemberian elaun ini ialah untuk menarik minat guru-guru dari semenanjung supaya mereka sanggup berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Namun persoalannya, apa pula nasib guru-guru kita yang ditukarkan ke Semenanjung Malaysia? Adakah bersyukur sahaja mencukupi? Ianya tidak mencukupi terutamanya yang ditugaskan ke bandar-bandar besar yang kos hidupnya jauh lebih tinggi,” katanya menambah ia sememangnya tidak adil.

Sukar melihat apabila kadar EPW yang dibayar itu tidak selaras dengan kadar perumahan semasa. Terutama apabila dibandingkan dengan kos sara hidup di Sabah dan Sarawak tidaklah setinggi di beberapa bandaraya di semenanjung.

Kata Raimie, ramai guru yang mempersoalkan mengapa ada yang menerima EPW jauh lebih rendah dari kos sewa perumahannya sedangkan ada yang menerima EPW jauh lebih tinggi berbanding kos sewa rumah.

“Saya khuatir jika isu ini tidak diberi perhatian, mereka akan gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik sekaligus menjejaskan prestasi akademik sekolah,” katanya ketika dihubungi pemberita. – AM

Borneo Insider

1 comments:

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.