Wujudkan ‘Pusat Penyelidikan Kadazan-Dusun dan Murut’

Tuesday 24 December 2013

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup mencadangkan pewujudan kumpulan pemikir ‘Pusat Penyelidikan KadazanDusun dan Murut’ bagi mencari penyelesaian meningkatkan tahap kemajuan dan pembangunan masyarakat itu.

Kurup berkata cadangan itu wajar disegerakan agar kaum bumiputera itu dapat memaksimumkan peluang yang disediakan kerajaan di bawah Agenda Pembangunan Bumiputera.

“Pusat Penyelidikan KadazanDusun dan Murut ialah sebuah pusat penyelidikan atau kumpulan pemikir bagi kebaikan masyarakat kita, yang memberi tumpuan memperkasa golongan belia,” katanya ketika berucap melancarkan Kamus Kadazan anjuran Pertubuhan Kadazan Sabah (PKS) di sini malam tadi.

Beliau berkata kaum bumiputera itu harus menggunakan secara maksimum sumber tenaga pakar terutama dalam kalangan belia bagi memperkukuhkan asas penting kepada kebangkitan masyarakat.

Bagaimanapun katanya, tanpa perpaduan dalam masyarakat, segala usaha akan sia-sia, sebaliknya langkah segera harus dirancang untuk menjamin kepentingan perpaduan agar dinikmati generasi masa depan.

`Pusat penyelidikan’

“Satu daripada sebab saya cadangkan penubuhan pusat penyelidikan ini bertujuan merancang kesatuan dan perpaduan kita, yang akan menjadi asas kemajuan masyarakat kita,” katanya.

Kurup berkata pencapaian sosioekonomi masyarakat bumiputera terutamanya golongan bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak masih di tahap rendah berbanding kaum lain.

Katanya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup sosioekonomi masyarakat bumiputera di kedua-dua negeri itu menampakkan kesan positif.

“Selepas mesyuarat Kabinet semalam, saya berkesempatan berjumpa perdana menteri dan beliau mengingatkan saya untuk menyampaikan hasrat dan komitmen beliau kepada masyarakat Kadazandusun dan Murut supaya jangan khuatir kerana kerajaan akan pastikan tidak ada pihak di negara ini ketinggalan dalam arus pembangunan perdana,” katanya.

Kurup turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada PKS khususnya Presidennya Datuk Marcel Leiking dalam usaha menghasilkan pencetakan semula kamus Bahasa Kadazan yang dikemas kini itu. 

Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.