Wabak TB tersebar di 1Borneo Hypermall?

Tuesday, 10 December 2013

KOTA KINABALU : Kompleks membeli-belah terbesar dan popular di Sabah, 1Borneo Hypermall, kini disyaki sebagai tempat penularan bakteria tuberkulosis atau TB berikutan pengenalpastian tujuh orang pekerja di situ sebagai pembawa virus tersebut beberapa hari lepas.

Tujuh orang berkenaan kini sedang dirawat dan dikuathiri lebih ramai pekerja di 1Borneo sudahpun dijangkiti memandangkan bakteria TB yang mudah menular dari manusia ke manusia menerusi udara dan kesan lendir pernafasan pembawa.

Khabar-khabar mengenai penularan itu mula bertiup minggu lepas selepas berita tujuh pekerja di kompleks berkenaan yang sering batuk dan tidak sihat disahkan menghidap TB, suatu penyakit yang sudah dihapuskan di negara maju tetapi masih banyak di negara mundur dan membangun terutama sekali di kawasan tropika.

Siasatan FMT mendapati Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah menghubungi pengurusan kompleks membeli-belah berkenaan minggu lalu untuk membuat saringan terhadap seberapa ramai pekerja yang sentiasa berstesen di 1Borneo.

Bagaimanapun, difahamkan pihak pengurusan 1Borneo dikatakan kurang bersetuju dengan cadangan pihak kesihatan itu, mungkin bimbang ia akan memberi isyarat negatif kepada orang ramai untuk mengelak berkunjung membeli-belah, lebih-lebih lagi ketika musim cuti sekolah dan perayaan Krismas yang tidak lama lagi.

Pengurusan 1Borneo dalam sepucuk suratnya kepada Jabatan Kesihatan Negeri pada 6 Disember, 2013, sebaliknya mencadangkan semua pekerja dan majikan lima syarikat kumpulannya menjalani pemeriksaan terlebih dahulu di klinik panel mereka bermula 6 Disember juga.

“Kami berharap sekiranya tiada anggota/pekerja kami yang pembawa penyakit /terjangkit selepas pemeriksaan tersebut, kami mohon tiada pemeriksaan secara menyeluruh di kalangan pekerja lain dijalankan,” kata sepucuk surat pihak pengurusan yang ditandatangani Jefveleon Rengga, seorang pengarah syarikat pengurusan kompleks terkemuka itu.

Surat itu ditujukan kepada Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Mahanim Md Yusof, dan menurut nota, ia telah difakskan ke pejabat beliau pada 6 Dis juga.

Menurut Jefveleon lagi, adalah mustahil untuk mengenakan seluruh 1Borneo Hypermall untuk membuat saringan secara umum, dan adalah lebih baik penumpuan dibuat untuk merawat tujuh yang telah dikenal pasti dijangkiti penyakit TB sahaja.

“Tujuh orang sudah dikesan dan sedang dirawati, adalah mustahil untuk mengenakan 1Borneo Hypermall untuk membuat saringan secara umum yang mempunai 400 pekedai, empat hotel, ballroom, Tower A dan B, dan Menara USIA sebagai “ground zero” penularan wabak berkenaan,” kata surat itu lagi.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan melaporkan kebimbangan pendatang haram yang banyak di Sabah terus menjadi pembawa terbesar bakteria TB di negeri ini, dan ramai mereka ini sudahpun dikenal pasti menghidapi TB tetapi tidak menghabiskan sesi rawatan mereka, termasuk suntikan harian, yang memakan masa berbulan lamanya.

Adalah dikhuatiri, kawasan yang banyak pendatang haram berkeliaran seperti di pasar-pasar ikan dan gerai makanan terbuka serta beberapa kompleks membeli-belah di sekitar ibu negeri juga turut menjadi sarang penularan wabak TB.

FMT difahamkan kotak-kotak karaoke kecil di pusat membeli-belah turut menjadi pusat penularan TB berikutan para pengunjung, termasuk penduduk tempatan dan pendatang haram, silih berganti menggunakan mikrofon karaoke sepanjang masa.

Kenderaan-kenderaan awam seperti bas-bas mini dan bas besar berhawa dingin juga dibimbangi turut menjadi tempat yang subur untuk jangkitan virus TB.

Sementara itu, sementara pengurusan kompleks membeli-belah mengambil tindakan berhati-hati dengan berita penularan TB kerana takut ia menjejaskan kedatangan pengunjung, para pemilik perniagaan di kompleks-kompleks berkenaan berbelah-bahagi dengan cara tindakan yang harus diambil.

“Kalau betul ada wabak TB di sini, apa salahnya kita semua ada pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan. TB ni bahaya boleh jangkiti anak-anak kita dan keluarga kita,” kata seorang pemilik perniagaan di 1Borneo kepada FMT semalam.

“Saya memang ada dengar ada ramai pekerja di sini menjalani pemeriksaan TB dan menurut hospital, memang ada sakit TB, jadi kita pun hati-hatilah dik sebab kita tidak tahu siapa yang ada TB. Kita pun risau juga bila orang batuk-batuk…” kata seorang makcik yang bekerja di bahagian pembersihan.

Katanya lagi, adalah lebih baik mencegah dari lebih ramai orang sakit TB yang akhirnya merugikan semua orang termasuk syarikat-syarikat.

Seorang pemilik perniagaan lain yang hanya mahu dikenali sebagai Lim sahaja pula berpendapat adalah lebih baik pemeriksaan dibuat secara senyap-senyap sahaja, bimbang nanti ramai yang takut datang membeli-belah di “shopping complex”.

Bagaimanapun tinjauan FMT mendapati tiada tanda-tanda orang-ramai berkurangan berkunjung ke semua kompleks membeli-belah termasuk 1Borneo malahan suasana perayaan Krismas semakin rancak dengan pelbagai peragaan dan muzik Krismas mula berkumandang di sana sini.

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.