Pasangan kekasih kena tembak di Kinabatangan

Monday, 30 December 2013

Kinabatangan: Seorang kerani wanita di sebuah ladang maut, manakala kekasihnya parah selepas mereka dipercayai ditembak ketika berehat di sebuah pondok di Ladang Kim Loong Tongod, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa Rozaliah Peter, 19, dari Kampung Langkabung Tongod, dekat sini, dipercayai meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Telupid, dekat sini, akibat ditembak di belakang sebelah kiri badannya, jam 6.45 petang.

Manakala, kekasihnya Amiruddun Mustamin, 27, pekerja kilang sawit Kim Loong Tongod, dekat sini, cedera dengan satu kesan tembakan di bawah bahu kanan dan menerima rawatan lanjut di Hospital Duchess of Kent Sandakan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Deputi Superintendan Martin Lugu berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Telupid yang memaklumkan seorang perempuan dan lelaki cedera dipercayai akibat terkena tembakan.

“Mangsa perempuan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Telupid, manakala mangsa lelaki cedera di bahu dan dihantar ke Hospital Duchess of Kent Sandakan. “Keadaan mangsa lelaki dilaporkan serius dan masih menerima rawatan lanjut,” katanya, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati, Rozaliah bersama Amiruddin sedang berehat di pondok di dalam ladang sawit kira-kira 300 meter dari jalan utama Jalan Telupid - Tongod, di sini, jam 6.45 petang.

“Tiba-tiba Amiruddin dikatakan terdengar bunyi tembakan sebelum melihat Rozaliah berlumuran darah, manakala dia turut cedera di bahu.

“Amiruddin dipercayai menghubungi rakan sebelum mereka dihantar ke Hospital Telupid untuk rawatan, namun Rozaliah disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Telupid,” katanya di sini.

Martin berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, Amiruddin ada melihat individu berlari sambil membawa lampu suluh di bawah bukit tidak jauh dari pondok tempat mereka berehat.

“Mayat Rozaliah dihantar ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan untuk bedah siasat, manakala Amiruddin turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sepasukan anggota Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

myMetro

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.