Pengguna Facebook kesal harga makanan naik

Thursday 19 December 2013

KOTA KINABALU: Kadar kenaikan barang makanan yang tinggi menjadi bahan perbincangan di laman sosial facebook konsumer.

Warga bandar mempersoalkan keberkesanan pihak berkuasa dalam pemantauan harga di sekitar bandar yang meningkat tinggi terutamanya di sekitar pusat beli belah di pusat bandar di Sabah.

Kegagalan oleh pihak penguasa mengawal kenaikan harga makanan menyebabkan pengguna terpaksa bertindak sendiri dengan mewujudkan laman sosial bagi berkongsi maklumat tentang harga tinggi makanan kedai.

Kemasukan pelancong dari luar negara yang meningkat melawat di sekitar pusat bandar Kota Kinabalu dikatakan juga penyebab kenaikan harga makanan yang tidak terkawal.

Adam, bukan nama sebenar yang berkerja di syarikat kewangan di pusat bandar berkata harga makanan semakin meningkat sejak peningkatan pelancongan yang datang terutamanya dari China, Taiwan dan Korea.

Ada kedai makanan dikenali “tourist trap”, perangkap pelancong yang mengenakan harga yang sangat tinggi kerana mereka tahu pelancong tidak akan mempersoalkan harga yang dikenakan.

Beliau pernah dikenakan harga RM2.50 bagi segelas milo panas di kedai makanan nasi ayam terkenal, manakalah kedai lain hanya mengenakan minuman sejuk sekitar RM2.20 dan RM2.50.

Dilaporkan bahawa nasi dengan dua jenis lauk mencecah harga RM14 disebuah kedai makan layan diri yang terletak di pusat beli belah Wisma Merdeka.

Kenaikan harga makanan juga dilaporkan merebak di sekitar Kota Kinabalu seperti di Pekan Dongongon, Penampang, Kolombong, Kedai di Damai dan Lintas.

Seorang pengguna Facebook mendakwa, makanan yang dibeli dari kedai yang terletak di Megalong Penampang mengenakan harga sebanyak RM15 hanya untuk lauk dua ekor ikan dan sup campur.

Pendedahan tersebut mengejutkan pelayar laman sosial tersebut yang marah akan harga yang dikenakan oleh peniaga tersebut.

Harga makanan di kedai makan sekitar bandar yang tidak terkawal ini menyebabkan kerisauan dikalangan penduduk yang melihat kos sara hidup mereka meningkat.

Kebanyakan pengguna tidak dapat berbuat apa apa melainkan mengelak makan ditempat yang mahal dan masak sendiri di rumah.
 
Kenaikan ini dikaitkan dengan kenaikan harga keperluan asas seperti gula, minyak dan petro/diesel yang menyebabkan kenaikan rantaian bagi semua barangan yang berkaitan terutamanya makanan dan minuman.

Peniaga di pusat bandar Kota Kinabalu menjelaskan kepada FMT, kenaikan tidak dapat dielakkan kerana kenaikan bahan mentah, kenaikan kos sewa kedai dan upah perkerja.

Penguatkuasaan gaji minimum di Sabah sebanyak RM800 juga menjadi penyumbang kepada kenaikan kos pembuatan dan pengguna terpaksa dibebani dengan jumlah penambahan tersebut.

Tambahan pula, kos sewa yang sejumlah RM3,000 – RM5,000 juga penyumbang kepada kenaikan dalam harga barangan kerana terletak di dalam pusat perniagaan bandar (central business center) terutamanya di kawasan tumpuan pelancong seperti di Jalan Gaya dan Jalan Pantai.

Menurut seseorang pemerhati politik tempatan, kekusutan dalam isu kabotaj juga penyumbang utama kepada kenaikan berleluasa di sekitar bandar utama sabah.

Kebanyakan barangan keperluan harian seperti gula, tepung dan minyak dibawa masuk melalui pusat perlabuhan di semenanjung sebelum dihantar untuk kegunaan di Sabah.

Ini menyebabkan pengguna terpaksa menampung kos pengangkutan yang dikatakan hanya dikendalikan oleh syarikat pengangkutan utama.

Kekurangan kilang proses makanan asas seperti gula, minyak dan tepung di Sabah juga menyebabkan bahan proses terpaksa diimport dari negara lain terutamanya di semenanjung.

Tambahan kuota yang diberikan oleh pengeluar kepada Sabah adalah sedikit kerana keutamaan diberikan kepada pusat bandar dan kawasan yang terdekat dahulu.

Ini menyebabkan kekurangan bekalan utama seperti gula, minyak dan petrol/diesel di kawasan bandar dan perdalaman di Sabah dengan tambahan kos pengangkutan yang mahal.

Kemerosotan kawasan pertanian terutamanya padi yang ditukar menjadi kawasan perindustrian dan perniagaan di Sabah juga menjadi factor kepada kenaikan kos makanan di Sabah.

Kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan aktiviti mempelbagaikan jenis pengeluran barang makanan selain hanya minyak kelapa sawit untuk keperluan pasaran tempatan.

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.