ATM terima maklumat risik pengganas cuba masuk Sabah

Friday 20 December 2013

KUCHING - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan menerima maklumat terdapat cubaan kumpulan militan dari selatan Filipina yang dipercayai ada kaitan dengan kes penculikan wanita warga Taiwan di Pulau Pom-Pom, Semporna, Sabah, pada 15 November lalu, memasuki semula perairan negeri itu semalam.

Panglima 1 Divisyen Infantri, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar berkata, berdasarkan maklumat risikan, kumpulan militan tersebut telah melintasi beberapa pusat peranginan di negeri tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan tujuan kumpulan terbabit memasuki perairan negara.

Mohd. Zaki menegaskan, pihak ATM sentiasa berhubung rapat dengan semua pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Penculikan yang berlaku baru-baru ini adalah di bawah bidang kuasa polis namun ATM sentiasa bersiap sedia dengan langkah pengawasan yang lebih besar sekiranya berlaku sebarang kejadian yang mengancam keselamatan negara.

“Sehingga tengah malam tadi, ATM tidak menerima sebarang maklumat mengenai pencerobohan pengganas Kiram di Sabah.

“Tetapi ada maklumat daripada sumber mengenai kumpulan pengganas terlibat dalam kes penculikan di Pulau Pom-Pom memasuki perairan yang menempatkan beberapa pulau peranginan di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Syarahan Ancaman Bahaya Syiah yang dihadiri oleh 400 pegawai dan anggota lain-lain pangkat di Kem Penrissen di sini hari ini.

Sementara itu di Lahad Datu, Bernama melaporkan, Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek berkata setakat ini tiada cubaan anggota kumpulan Abu Sayyaf atau Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) untuk menceroboh masuk ke kawasan pesisir pantai timur Sabah.

Beliau berkata, keadaan keselamatan di kawasan itu yang dikenali sebagai Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) adalah terkawal dan terjamin.

Zon tersebut merangkumi 10 daerah meliputi jarak 1,733.7 kilometer dari Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Sehubungan itu, Mohammad meminta orang ramai bertenang dan tidak sesekali percaya kepada khabar angin yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Berdasarkan risikan yang diperoleh ESSCOM, setakat ini tiada cubaan untuk menceroboh masuk oleh kumpulan Abu Sayyaf atau MNLF seperti didakwa. Oleh itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak panik dan tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak berasas termasuk melalui media sosial," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan keselamatan di kawasan pantai timur Sabah sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk ancaman serangan pihak asing.

Mohammad berkata, kawalan keselamatan di ESSZONE diperketatkan termasuk bilangan rondaan pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin.

“Kita juga meningkatkan pengawasan dan kawalan di pos-pos keselamatan bukan sahaja di pos kawalan di pulau tetapi juga di pos kawalan daratan," katanya.

Selain itu, Mohammad berkata, ESSCOM, yang dipertanggungjawab menyelaras agensi pertahanan dan keselamatan di ESSZONE, mewujud dan menempatkan Pasukan Tindakan Pantas di beberapa tempat strategik bagi memintas bot atau kumpulan tertentu yang cuba memasuki perairan negara ini untuk melakukan jenayah penculikan.

“Pewujudan Pasukan Tindakan Pantas ini juga bertujuan untuk memastikan tidak berlaku atau mengelak sebarang pencerobohan," katanya.

Utusan

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.