Najib, inikah sebabnya rakyat bayar tol?

Monday, 23 December 2013

Timmy Say

Penulis adalah seorang jurutera semikonduktor, wartawan freelance, penerbit dan editor buku motivasi yang suka mengikuti perkembangan politik Malaysia

“Ambil lebuh raya ini. Bayar tak apa. Lebih cepat sampai. Jimat minyak,” itulah kata-kata seorang rakyat jelata 10 tahun yang lalu ketika mengambil keputusan sama ada ingin menggunakan jalan yang biasa atau lebuh raya bertol.

Dulu, menggunakan lebuh raya bertol adalah satu pilihan kemewahan. Bayaran tol dikembalikan dalam bentuk servis “menjimatkan masa dan minyak.” Rakyat membayar tol untuk keselesaan jalan yang lebih luas, menjimatkan masa dan juga minyak.

Tapi kini, situasi sudah berlainan. Jumlah kereta di atas jalan meningkat dari hari ke hari. Jalan raya semakin sesak. Lebuh raya bertol bertukar menjadi sebahagian daripada jalan keperluan biasa untuk rakyat bekerja daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, terutamanya di kota.

Menggunakan lebuh raya bertol pada hari ini, bukan lagi satu pilihan seperti dulu, tapi ia adalah satu keperluan. Tapi mutu servis yang dikembalikan daripada harga tol yang dibayar semakin kurang.

Lebuh raya bertol, ya ia masih lebih luas daripada jalan biasa, tapi ia juga sesak seperti jalan biasa. Masa dan minyak yang sepatutnya dapat dijimatkan, tidak lagi dapat dijimatkan kerana kesesakan. Maka nilai tambahan pada rakyat yang sanggup membayar tol semakin kurang.

Berdasarkan ini, mengapakah rakyat masih perlu membayar kadar tol yang semakin tinggi sedangkan nilai tambahan menggunakan lebuh raya bertol semakin berkurangan?

Lebih-lebih lagi apabila lebuh raya bertol kini bukan satu lagi pilihan kemewahan, tapi satu keperluan untuk kebanyakan rakyat di kota?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rakyat ada dua pilihan, sama ada membayar tol yang lebih tinggi atau membayar cukai yang lebih tinggi.

Apa kaitan kadar tol dengan cukai rakyat? Bukannya dua-dua dibayar oleh duit rakyat? Bezanya jika rakyat membayar kadar tol yang tinggi, mereka membayar kepada syarikat konsesi tapi jika rakyat membayar cukai tinggi, mereka membayar pada kerajaan.

Persoalannya, mengapa perlu menaikkan kadar tol? Daripada segi jumlah kenderaan yang meningkat dari hari ke hari, keuntungan syarikat konsesi tol sudah pun berlipat kali ganda.

Apakah ada syarikat konsesi tol yang mengalami kerugian, atau keuntungan menurun untuk tiga tahun kebelakangan ini?

Sebelum menaikkan tol, bolehkah kerajaan dapat membuktikan mana-mana penyata kewangan syarikat konsesi tol yang rugi dan mencapai keuntungan menurun untuk tiga tahun berturut-turut?

Jika ada syarikat konsesi tol yang rugi, kerajaan tidak perlu berdolak-dalih untuk menukar pengurusan atau mengambil alih syarikat konsesi tersebut, kerana masakan perniagaan yang pasti untung ini boleh diuruskan sehingga mencapai kerugian?

Jika tiada syarikat konsesi tol yang mengalami kerugian mahupun keuntungan menurun, mengapa perlu menaikkan kadar tol?

Perdana menteri juga harus ingat bahawa perniagaan tol ialah satu perniagaan menawarkan khidmat servis, seperti juga servis telekomunikasi telefon.

Dalam perniagaan khidmat servis, jarang ada perniagaan yang menaikkan harga servis tatkala jumlah pelanggan bertambah setiap hari tanpa perlu melakukan apa-apa (kerana rakyat terpaksa menggunakan lebuh raya bertol masa kini).

Bagi perniagaan sebegini, sepatutnya harga servis semakin menurun apabila jumlah pelanggan semakin bertambah, lebih-lebih lagi syarikat konsesi tol yang diswastakan kerana infrastruktur jalan adalah satu tanggungjawab sosial.

Seperti juga syarikat telekomunikasi, telefon bimbit berdata internet kini sudah menjadi satu keperluan dan bukan lagi satu kemewahan, dan oleh itu kadar servis untuk menggunakan infrastruktur telekomunikasi bertambah murah, namun keuntungan syarikat telekomunikasi tetap berlipat ganda kerana jumlah pelanggan semakin meningkat.

Boleh untung, tapi haruslah berpatutan.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, sememangnya tiada alasan untuk menaikkan kadar tol, terutamanya daripada sudut rakyat.

Jadi mengapa perdana menteri menyuruh rakyat memilih antara menaikkan kadar tol dan membayar cukai yang lebih?

Jawapannya tidak lain tidak bukan pada perjanjian yang ditandatangani kerajaan dengan syarikat konsesi tol.

Dalam kemelut mengawal kemarahan rakyat, perdana menteri dan barisan Kabinetnya langsung tidak berani menyentuh mengenai perjanjian konsesi tol yang masih di bawah OSA.

Ini kerana apa yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi tol akan lebih membangkitkan kemarahan rakyat daripada kadar kenaikan tol yang dicadangkan.

Apakah perdana menteri akan berani menjelaskan kaitan sebenar kenaikan kadar tol dengan cukai rakyat, dengan pampasan yang harus dibayar kerajaan pada syarikat konsesi tol akibat perjanjian konsesi tol yang tidak berani didedahkan atas nama “subsidi” untuk rakyat?

Mengapa perlu naikkan kadar tol pada syarikat konsesi yang tidak akan mengalami masalah perniagaan seperti kerugian besar daripada perniagaan mengutip tol daripada jumlah pelanggan yang semakin bertambah?

Dan mengapa kerajaan sanggup menandatangani satu perjanjian untuk membenarkan kadar tol dinaikkan secara berkala oleh syarikat konsesi yang tidak akan mengalami masalah kerugian daripada perniagaan mengutip tol daripada jumlah pelanggan yang semakin bertambah?

Pada kerajaan Selangor yang mengarahkan pemegang sahamnya di syarikat konsesi lebuh raya untuk menghalang kenaikan harga tol: -- Jika betul dapat menghalang kenaikan harga tol, mengapa tidak cuba terus untuk mengubah perjanjian konsesi tol dengan kerajaan supaya tol boleh dimansuhkan dengan secepat mungkin setelah mencapai tahap keuntungan tertentu?

Cuma lontaran untuk difikirkan.

The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.