Najib, ROSMAH adakan lawatan ke Tokyo

Wednesday, 11 December 2013

Najib ke Tokyo kerana lawatan kerja, ROSMAH???
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun mulai Khamis hingga Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan 40 Tahun Penubuhan Hubungan Dialog Asean-Jepun.

Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Turut menyertai rombongan perdana menteri ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin serta pegawai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

Sidang kemuncak pada Sabtu itu dianjurkan untuk memperingati hubungan dialog antara Asean dan Jepun yang terjalin sejak 40 tahun lepas.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, para pemimpin Asean dan Jepun dijangka memberi penekanan semula kepada hubungan rapat dan berpanjangan kedua-dua pihak, selain memperaku tiga dokumen yang akan menggariskan program serta aktiviti yang akan memperkukuhkan lagi hubungan sedia ada.

Dokumen itu adalah kenyataan mengenai wawasan bersama Asean dan Jepun, pelan pelaksanaan wawasan dan kenyataan bersama Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun.

Untuk memperingati sidang kemuncak tersebut, Maharaja Jepun Maharaja Akihito dan Maharani Michiko akan meraikan para pemimpin Asean dalam satu majlis minum teh di Istana Imperial pada Jumaat.

Selain itu, Najib dan Rosmah juga akan menghadiri majlis jamuan malam yang dihoskan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan isteri Akie Abe.

Sidang kemuncak itu akan bermula dengan acara bergambar serta ucapan aluan oleh Abe diikuti kenyataan daripada pemimpin-pemimpin Asean.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Abe dan diikuti sidang akhbar bersama.

"Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama dan seterusnya merasmikan persidangan ke-32 Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca)," menurut Kementerian Luar.

Najib juga dijangka menerima kunjungan hormat pegawai tertinggi syarikat Nikkei Inc, Sumitomo Corporation, Sekisui Chemical, Mitsui & Co. Ltd, Kawasaki Heavy Industry Ltd dan Toshiba Corp.

Selain itu, beliau akan mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di Jepun dan melancarkan 1Malaysia for Youth (1M4U) cawangan Tokyo yang dijangka dihadiri lebih 150 pelajar.

Menurut Kementerian Luar program padat perdana menteri menunjukkan hubungan rapat yang sedia terjalin bukan sahaja antara Asean dan Jepun malah Malaysia dan Jepun dalam segenap bidang.

Najib dan Rosmah dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada 15 Disember ini.

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.