Malaysia Tingkatkan Pengeluaran Minyak

Tuesday, 10 December 2013

BANDAR SERI BEGAWAN - Penemuan kawasan baharu simpanan minyak empat hari lalu yang terletak di sekitar perairan utara Sarawak, Sabah dan Brunei membolehkan Malaysia mempertingkatkan pengeluaran minyak kepada tahap yang lebih tinggi tahun hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, satu perkembangan yang sangat menarik kawasan cari gali berkenaan yang merentasi perairan Malaysia-Brunei itu telah dapat diselesaikan mengikut kaedah yang boleh diterima oleh kedua-dua buah negara berhubung pembahagian hasil minyak dan gas.

“Kerja cari gali dijangka dimulai akhir suku pertama tahun hadapan dan pengeluaran minyak Malaysia akan dapat dipertingkatkan dengan minyak yang dikeluarkan dari kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, sebelum berlepas pulang setelah mengadakan pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, tengah malam tadi.

Ketika ditanya berapa besar kawasan baharu itu, Najib berkata, perincian mengenai kawasan berkenaan akan diumum kemudian tetapi ia adalah cukup berdaya maju dari segi nilai komersial untuk dijalankan kerja-kerja pengeluaran minyak.


“Penemuan kawasan baharu iaitu CA2, apabila dicantum dengan penemuan kawasan terdahulu, ia cukup besar dan berdaya maju untuk tujuan komersial," jelas beliau.

Kawasan baharu itu juga, kata Perdana Menteri, akan menambah bekalan gas yang memang diperlukan oleh Brunei dan pada masa sama Petronas mempertimbangkan menjalankan usaha cari gali minyak di blok yang diberikan iaitu Blok N dan Q, iaitu kawasan yang agak cetek di samping memperluaskan aktiviti di kawasan CA1. 

Selain itu, jelas beliau, Brunei juga berminat untuk melabur dalam syarikat Progress Energy Cooperation Ltd. di Kanada yang dibeli Petronas berkaitan industri gas dan berharap kerajaan Brunei dapat menimbang penyertaan lebih besar pada masa akan datang.
Najib menambah, Brunei juga berminat untuk melabur dalam bidang penternakan yang dijalankan di Keningau, Sabah serta mempertimbangkan untuk melabur dalam industri janakuasa elektrik hidro di Sarawak.

“Brunei juga akan dijadikan hab kepada pelancong Australia untuk memasuki Sabah dan Sarawak, memandangkan penerbangan Brunei mempunyai hak mendarat di Australia begitu juga Australia mempunyai hak mendarat di Brunei.

Dalam pada itu menurut beliau, perkara lain yang turut dibincang dalam rundingan tahunan itu ialah mengenai kemajuan aktiviti persempadanan darat yang telah pun dijalankan di lapangan, dengan aktiviti penandaan dan pengukuran dilakukan di sektor-sektor utama oleh pasukan ukur kedua-dua negara.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.