Semakan tarif elektrik mungkin jejas inflasi

Wednesday 4 December 2013

Semakan tarif elektrik yang berkuat kuasa 1 Januari, 2014, dijangka memberi kesan sementara kepada kadar inflasi negara, kemungkinan naik sedikit kepada 3.0 peratus tahun depan daripada 2.8 peratus sekarang, kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, hari ini.

Beliau berkata bank pusat itu tidak menilai bagi asas bulan ke bulan.

"Penilaian awal kami ialah ia mungkin menyebabkan kenaikan inflasi sebanyak 0.4 peratus. Justeru itu, memandangkan kadar semasa ialah 2.8 peratus, ia boleh mencecah 3.0 peratus," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Tenaga 2013, di sini.

Zeti berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai pengumuman semakan tarif elektrik oleh kerajaan semalam.

"Kami melihat kepada trend dan penilaian kami ialah pelarasan ini akan memberi kesan sementara kepada inflasi," katanya.

"Buat masa sekarang, ia dijangka berada sekitar tiga peratus, tetapi kita tidak tahu apa pelarasan lain yang akan dibuat," katanya.

Sementara itu, Zeti berkata dasar monetari bank pusat akan dinilai dengan berhati-hati bagi mengimbangi risiko inflasi dan pertumbuhan.

"Kita tidak akan menjejaskan ekonomi untuk menurunkan inflasi. Kita mahukan inflasi rendah dalam persekitaran pertumbuhan mampan," katanya.

Terdahulu Zeti berkata semakan tarif elektrik itu tidak akan mendorong kenaikan harga kerana permintaan domestik sekarang berkembang pada kadar sederhana.

Pada masa yang sama, terdapat potensi bagi perniagaan untuk meningkatkan kecekapan dan paras produktiviti bagi menjimatkan kos dan tidak menyalurkan semuanya kepada pengguna.

Selain itu, terdapat pelaburan ketara dalam ekonomi negara terutamanya oleh sektor swasta yang membawa kepada pengembangan kapasiti sekali gus membantu mengelakkan gangguan.

"Apa yang penting bagi kami, kerajaan, adalah untuk meningkatkan kecekapan pengedaran, pengeluaran makanan, agar ada bekalan mencukupi dan ia tidak menghasilkan harga tinggi," kata Gabenor itu.

Zeti berkata semakan tarif elektrik itu penting dan perlu dilakukan kerana ia tidak mapan apabila harga pasaran berubah.

Beliau berkata semakan itu hanya menjejaskan 30 peratus daripada pengguna, dengan 70 peratus isi rumah tidak menerima kesan daripada pelarasan itu.

"Ini menyediakan insentif untuk juga menjimatkan tenaga dan penting bagi mengubah tingkah laku," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.