Pembinaan empangan Kaiduan dapat perhatian UNSR

Wednesday 18 December 2013

KOTA KINABALU: Pembinaan empangan Kaiduan mendapat perhatian apabila mendapat kunjungan daripada wakil United Nations Special Rapporteur (UNSR) ke Kampung Terian, Ulu Papar baru-baru ini.

Ahli Taskforce Against Kaiduan Dam, Mary Giun menerangkan bahawa kunjungan UNSR adalah untuk melihat, meninjau dan mendengar sendiri suara daripada komuniti di peringkat akar umbi.

“Lawatan tiga wakil UN terbabit diperlukan kerana masyarakat komuniti Ulu Papar dapat menerangkan bagaimana pembinaan empangan Kaiduan bakal memusnahkan jaminan dan kedaulatan makanan (food sovereignty),

“Kerajaan negeri perlu mendengar dan mengambil perhatian yang serius suara komuniti yang mendapat kesan daripada pembinaan empangan,

“Laporan UNSR bakal dikeluarkan pada Februari 2014, diharap kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya,” ujar Mary ketika dihubungi FMT

Sementara itu, delegasi UNSR dalam hak makanan, Olivier De Schutter dipetik berkata bahawa mereka sedang mendalami masalah komuniti terbabit.

“Saya disini untuk memahami situasi lapangan, dengan bercakap dengan komuniti, mendengar testimoni akan membantu saya memahami isu ini,” kata beliau bersama penduduk kampung dan ahli Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS).

“Saya juga sudah berjumpa dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan,

“Dan itu sangat berguna bagi saya mengadakan lawatan dan mendapatkan pandangan komuniti secara bersemuka,” ujar beliau

Schutter juga mendedahkan bahawa beliau akan memberikan kesimpulan maklumat akan disampaikan pada 18 Disember, di Putrajaya dan disampaikan kepada UN Human Rights Council di mana Malaysia adalah salah satu ahlinya selama enam tahun di Geneva pada 10 Mac 2014.

“Saya berfikir bahawa pihak Hak Asasi UN menggunakan sistem menyeluruh tetapi hanya berfungsi jika daripada Geneva dan New York dan itu sebenarnya tidak efektif.

“Ia efektif jika kita (UN) berjumpa dengan komuniti akar umbi yang belum pernah pergi ke Geneva dan New York dan melihat bagaimana mereka berdepan dengan pihak berkuasa,” ujar beliau

Cadangan menenggelamkan kawasan seluas 12 kilometer persegi akan menutup kawasan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran, kilang padi dan sawah padi serta kawasan hutan yang kaya dengan kepelbagaian, malah pemburuan tradisional juga yang merupakan sumber makanan kepada komuniti sekitar Ulu Papar, Penampang.

Empangan Kaiduan akan membahayakan komuniti sebanyak 1400 orang Dusun yang mempunyai hak untuk makanan. Majoriti mereka merupakan petani yang memungut hasil hutan dan ini akan membuatkan masa depan mereka bakal musnah.

Ahli taskforce terbabit menggesa kerajaan mengambil tindakan untuk menimbangkan kembali dengan menaiktaraf bekalan air bersih di Sabah dengan tidak membahayakan hak makanan komuniti Ulu Papar.

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.