Petronas beli rezab gas LEBIH MAHAL dari HARGA PASARAN

Wednesday 18 December 2013

PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli meragui transaksi pembelian rezab gas batuan oleh Petronas berjumlah RM15.8 bilion yang didakwa lebih tinggi daripada harga pasaran dunia.

Katanya keraguan itu timbul apabila Petronas membuat bayaran yang terlalu tinggi berbanding pembelian bahan api yang sama oleh syarikat-syarikat minyak dan gas lain.

"Kalau pun Petronas wajar membeli rezab gas batuan, namun harganya perlulah berpatutan dan setanding dengan harga pasaran berdasarkan urus niaga dalam tempoh perjanjian itu dimeterai.

"Pembelian Progress Energy di North Montney, Kanada; Petronas membelanjakan US$16.42 setiap tong bagi pembelian rezab gas sedangkan harga petrol lebih tinggi di pasaran," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan pembelian rezab gas dalam urus niaga di Kanada itu membuktikan Petronas membayar harga dua kali ganda lebih tinggi bagi setiap tong berbanding urus niaga lain yang dimeterai sepanjang 2012 dan 2013.

"Sewajarnya rezab gas batuan nilainya setanding atau lebih rendah berbanding rezab konvensional memandangkan kerugian-kerugian yang ditanggung syarikat lain ketika ini dan harga gas yang kekal rendah," dakwanya.

Beliau tidak menolak wujudnya percaturan pihak tertentu yang menentukan nilai urus niaga bahan api tersebut yang begitu tinggi dan tidak mengikut pertimbangan komersial.

"Ini mirip amalan mutakhir pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan syarikat-syarikat pelaburan negara seperti 1MBD membayar harga berlipat kali ganda dari harga pasaran untuk membeli aset-aset penjanaan elektrik dari IPP yang konsesinya hampir tamat.

"Saya bimbang pembayaran dua kali ganda lebih tinggi daripada urus niaga pasaran melibatkan Petronas dan pembelian Progress Energy ini juga dipengaruhi 'tangan-tangan' tersembunyi yang mengatur untuk mendapatkan keuntungan," dakwanya lagi.

Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.