Kedaulatan Kemerdekaan Dan Hak Rakyat Borneo

Tuesday 31 December 2013


KEDAULATAN KEMERDEKAAN DAN HAK RAKYAT BORNEO MENENTUKAN NASIB SENDIRI

1. Pembebasan Rakyat Borneo Dari Penindasan Malaya

PENAKLUKAN tanpa pengisytiharan penjajahan adalah kemuncak tertinggi dari ketuanan atau dominasi kuasa Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang merdeka pada 31 Ogos 1957 ke atas Sabah Sarawak (Borneo), yang bagi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 dari penjajah yang sama, iaitu United Kingdom of Great Britain and Northern Ireland.

Sesungguhnya, penguasaan Malaya ke atas Borneo terang dan nyata telah melampaui batas perjanjian tentang persetujuan dan jaminan kedudukan sama taraf antara Borneo dan Malaya dalam Malaysia, di samping hak bagi Borneo atau negara masing-masing, iaitu Borneo dan Malaya untuk menentukan nasib sendiri dalam Malaysia.

Lantaran itulah, maka pelanggaran Malaya terhadap perjanjian penubuhan Malaysia adalah pengkhianatan kotor dan sekaligus menghancurkan harapan-harapan manis tentang apa itu kedaulatan kemerdekaan Borneo dalam Malaysia. Yang demikian, Malaya telah membuatkan bangsa-bangsa Borneo laksana anjing berkepala busuk dalam Malaysia. Pada hal, Malaysia itu wujud kerana faktor Borneo dan kalau bukan kerana faktor Borneo, nescaya Malaysia tidak wujud.

Oleh itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu bertanggungjawab sepenuhnya dalam usaha menzahirkan keazaman baru dan sekaligus menyerlahkan perjuangan baru ke arah menghancurkan dominasi kuasa Malaya dalam erti kata ketuanan Melayu selama 50 tahun ke atas Borneo demi pengambilalihan semula semua jabatan kerajaan dan lembaga kerajaan kepunyaan Borneo yang Malaya rampas atas nama ‘Kerajaan Persekutuan’ atau pusat pentadbiran Malaysia kononnya.

Pembebasan Borneo dari penindasan Malaya sememangnya memaksa seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo untuk bergerak ke dalam satu arena perjuangan baru dengan mempertajamkan antagonisme terhadap Malaya sehingga ke tahap yang sebesar-besarnya. Antagonisme besar Borneo yang dimaksudkan adalah bertujuan untuk menghancurkan kelakuan tidak bertamadun Malaya yang dengan pongahnya telah memburukan harapan baik kehidupan rakyat bangsa-bangsa Borneo secara ekonomi melalui rampasan 95 peratus hasil Borneo, dan secara politik melalui penindasan terhadap warga asal Borneo melalui penciptaan warga melayu baru dari kalangan jutaan bilangan PTI yang diberi IC Projek.

Kemenangan nasionalis rakyat bangsa-bangsa Borneo hendaklah didasarkan kepada mencapai demokrasi yang sepenuhnya dan sebagai akibatnya, tidak hanya membawa kesetaraan sepenuhnya di antara Borneo dan Malaya sebagai koleksi negara yang membentuk Malaysia dalam Malaysia, tetapi juga memberikan hak kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo yang tertindas kerana ditindas dalam Malaysia untuk menentukan nasib sendiri, iaitu hak untuk bebas memisahkan diri secara politik, dengan cara membuang dan menghapuskan semua parti politik ‘Made In Malaya’ di Borneo agar penjarahan ekonomi dari hasil Borneo oleh Malaya dapat dihentikan.

Justeru, semua parti politik berasaskan Borneo yang gagal membuktikan keazaman tinggi nasionalisme mereka hari ini, dalam erti kata sekadar mampu menjadi pencacai dan penjilat kepada Malaya, sehingga rakyat asal Borneo sendiri wujud pada posisi tertindas, tidak syak lagi, bahawa mereka yang melakukan perbuatan terkutuk demikian adalah pengkhianatan besar terhadap hak kedaulatan kemerdekaan Borneo. Dengan kata lain, mereka adalah pengamal politik busuk standard kelas longkang dari acuan demokrasi biawak Malaya sehingga Borneo kehilangan status negara dalam Malaysia kepada Malaya akhirnya.

2. Budaya Politik Tanpa Moral Malaya

Orang-orang yang paling tidak bermoral dalam senario ini tentunya melayu UMNO kerana telah memusnahkan seluruh janji dan jaminan persamaan taraf antara Borneo dan Malaya ketika mula-mula Malaysia hendak dibentuk atau ditubuhkan. Tetapi, takdir buruk telah membuktikan sekarang, bahawa nawaitu Malaya hendak bergabung dengan Borneo dalam Malaysia hanyalah untuk menjadikan Borneo sebagai tempat untuk memenuhi kepentingan tujuan busuk tamak mereka.

Oleh sebab itu, semua perjanjian dan jaminan tentang maksud asal penubuhan asal Malaysia telah dicabul untuk tidak dihormati, dan akhirnya Borneo telah diletakkan pada posisi yang amat rendah dan begitu dirugikan sehingga kehilangan daulat kemerdekaan dalam Malaysia. Seperti yang saya katakan, bahawa di sebalik perancangan busuk ini berdiri orang-orang tamak Malaya yang berkepentingan busuk untuk merompak segala kekayaan Borneo yang boleh mereka rampas atas nama Malaysia. Yang demikian, Malaya telah mengatasnamakan Malaysia untuk menghalalkan rompakan mereka ke atas 95% hasil minyak Borneo.

Selainnya, Malaya juga telah menghancurkan konsep Borneonisasi dalam konteks rompakan mereka ke atas jabatan-jabatan kerajaan dan lembaga-lembaga kerajaan Borneo yang sekaligus membuatkan segala hasil Borneo 100% menjadi kepunyaan atau menjadi milik Malaya. Lantarannya, maka rakyat bangsa-bangsa Borneo hanya menjadi kuli yang hina dan rendah di bawah tapak kaki Malaya yang menjadi ketua kepada seluruh jabatan kerajaan dan lembaga kerajaan Borneo sendiri namun telah dirampas oleh Malaya atas nama Malaysia kononnya, pada hal Malaya sebenarnya. Justeru, konsep Borneonisasi hancur mutlak dalam erti kata Borneo tidak ada hak untuk menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Apakah ertinya itu semua kalau bukan penaklukan tanpa pengisytiharan penjajahan dalam budaya politik tanpa moral Malaya?

Sesungguhnya, tatkala seseorang nasionalis rakyat Borneo yang baik sesekali menitiskan airmata bukan kerana memikirkan bahawa besok-besok ia akan meninggalkan alam ini buat selamanya. Namun, kerana memikirkan soal nasib generasi orang asal Borneo menghadapi kehidupan di masa akan datang angkara kejahatan generasi masa kini lantaran pengamal politik yang ada hanya setakat mampu menjadi pencacai hina kepada sistem politik kebinatangan Malaya. Sehubungan itu, dalam pandangan sisi nationalisme tinggi adalah terang dan jelas, bahawa Malaya mahu terus menerus meletakkan rakyat bangsa-bangsa Borneo di tempat yang rendah dalam pelbagai dimensi kehidupan agar rakyat bangsa-bangsa Borneo sentiasa merendah diri kepada mereka dalam erti kata terus menerus bertuankan Malaya.

Contohnya, dalam soal hasil Borneo yang ratusan billion setahun, tidak syak lagi telah berjaya membangunkan prasarana di Malaya dalam pelbagai dimensi kehidupan dengan baik. Namun begitu, dalam Bajet 2014 yang lepas, yang berjumlah 264 billion, Borneo hanya sekadar diberi atau mendapat 2.049 billion. Dengan kata lain, 262 billion lagi dalam konteks Bajet 2014 semuanya telah menjadi milik Malaya sepenuhnya. Justeru, di mana jiwa nasionalis rakyat bangsa-bangsa Borneo tatkala negara Malaya merampas kekayaan Borneo dan menjalankan kerajaan Borneo atas nama Malaysia atau Malaya mengatasnamakan Malaysia untuk merompak kekayaan Borneo dan menjalankan kerajaan Borneo?

Sesungguhnya, nenek moyang rakyat bangsa-bangsa Borneo sebelum penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 tidak pernah menyembah; tidak pernah menjadi kuli; tidak pernah merendah diri; dan tidak pernah bertuankan Malaya walau satu saat pun. Oleh itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo sekarang wajar membuat keputusan yang muktamad untuk menetapkan minda dan hati, bahawa bumi yang kita berpijak ini adalah bumi Borneo, bumi Borneo ini adalah ‘bumi hati’ kita semua yang sama unggul dengan semua negara lain di dunia ini dan kita wajib menjaga dan mempertahankannya dengan sebaik-baiknya kerana kita, leluhur kita dan generasi kita lahir di dalamnya.

Sementelahan, jika ada apa yang dikatakan sebagai manusia pemberani dalam kamus sejarah dunia itu, maka ada The Headhunters of Borneo (Indigenous Peoples of Borneo) di dalamnya. Sejarah umat manusia di Borneo tidak bermula pada 31 Ogos 1957 atau 16 September 1963. Cendekiawan sejarah dunia menjadi saksi, bahawa sejarah umat manusia di Borneo ini sudah bermula atau wujud sejak 8000 tahun sebelum masehi.

Malangnya, semenjak 16 September 1963 hingga kini keturunan The Headhunters of Borneo sudah menjadi bangsa pengecut sehingga tidak mampu membuka mulut untuk berkata “Tidak” kepada kehendak jahat Malaya yang berhubung dengan pembodohan yang mereka timpakan kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo sehingga ke tahap atau ke peringkat mengubah sejarah patut tentang penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan kemudian menggantikannya dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957 dalam buku-buku teks sejarah sekolah sebagai tarikh bagi kemerdekaan Malaysia kononnya.

3. Banjir Bohong Cakap Kosong Malaya

Dasar pembohong Malaya tidak pernah surut, tidak pernah berasa malu walau sedikit pun kerana sentiasa hidup dalam kebohongan melampau dan fitnah besar. Sedia maklum, bahawa hanya satu dokuman paling penting yang melibatkan wibawa United Nations (PBB) untuk mengesahkan tanda ikatan rasmi di antara Malaya dan Borneo adalah apa yang ditulis sebagai “London Agreements 1963 atau Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963”. Malangnya, dengan London Agreements 1963 itulah Malaya jadikan alat sebagai jerat untuk mencekik leher rakyat bangsa-bangsa Borneo sehingga jatuh ke tahap maruah paling rendah dalam Malaysia.

Namun begitu, Malaya terus menerus memberi ribuan kata dusta untuk mewajarkan pencabulan mereka terhadap perjanjian tersebut dengan maksud untuk menafikan hak rakyat bangsa-bangsa Borneo menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Dengan kata lain, segala isi kandungan London Agreements 1963 tentang harapan dan impian manis kewujudan suatu sistem pemerintahan koleksi negara merdeka yang sama taraf dalam Malaysia telah hancur dan berkecai sama sekali, segala janji yang diukir telah dibogelkan sebagai banjir cakap bohong yang kosong Malaya.

London Agreements 1963 contohnya, sepatutnya disemak semula untuk menentukan ‘kedudukan, hak dan masa depan’ bersama Borneo dan Malaya dalam Malaysia selepas 10 tahun penubuhannya. Tetapi, sudah 50 tahun telah berlalu dan sampai sekarang masih tidak disemak. Apakah ertinya ini semua, kalau bukan banjir cakap kosong yang bohong Malaya semata-mata dari awal hingga ke akhirnya? Dalam erti kata lain, London Agreements 1963 hanyalah persiapan dan persediadaan atau misi kepada visi jahat dan kotor Malaya untuk menipu Borneo semata-mata. Justeru, di seluruh ruang pemikiran, di manakah letaknya otak pengamal politik rakyat bangsa-bangsa Borneo yang begitu sanggup menjadi barua dan pencacai hina kepada wajah politik hina Malaya dalam menipu Borneo?

Lantaran itu, dalam segala kerendahan hati dan keluhuran budi, maka rakyat bangsa-bangsa Borneo mempunyai alasan yang kuat sekarang untuk mengatakan, bahawa Malaya sekarang adalah lawan dan musuh kepada rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam konteks pengkhianatan dan pencabulan mereka terhadap Perjanjian Malaysia. Yang demikian, rakyat bangsa-bangsa Borneo bertanggungjawab penuh untuk mendepani cabaran kotor Malaya sehingga muncul daulat merdeka Borneo bagi menentukan nasib sendiri dalam Malaysia. Tetapi, saya tidak percaya bahawa perjuangan menggapai daulat merdeka Borneo boleh dicapai di bawah keadaan tanpa keazaman tinggi nasionalisme.

Ertinya, keyakinan baru perlu dibuat bagi menghubungkan antara keazaman tinggi nasionalisme dengan kebangkitan rakyat Borneo bersatu sebagai jalan menuju ke masa depan takdir yang selamat untuk rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam Malaysia. Sesungguhnya, rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu melihat ke masa depan dengan keyakinan baru yang dinamik dan komprehensif. Lantaran itu, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo perlu menjawab panggilan dan seruan kebangkitan rakyat Borneo bersatu untuk melihat ke masa depan dengan ketenangan yang sempurna dan keyakinan yang besar dalam amanah menghancurkan kebodohan selama 50 tahun Borneo kepada Malaya dalam Malaysia.

4. Menilai Kemerdekaan Borneo Dalam Malaysia

Sesungguhnya, sudah 50 tahun Borneo merdeka, tetapi para pemimpin Borneo masih tidak berfungsi sebagai ketua negara merdeka sebagaimana fungsi pemimpin negara-negara merdeka yang lain di pentas dunia. Hakikatnya, rakyat bangsa-bangsa Malaya berpolitik kerana mahu merompak hasil kekayaan Borneo, manakala rakyat bangsa-bangsa Borneo pula berpolitik kerana mahu hasil kekayaan Borneo dirompak Malaya. Justeru, adalah suatu yang kurang pasti, sama ada pemimpin Borneo betul-betul faham hakikat konsep negara merdeka atau masih rabun?

Pada dasarnya, konsep kemerdekaan boleh dibahagikan kepada dua, iaitu pengiktirafan negara luar terhadap negara yang dikatakan merdeka, dan pengiktirafan oleh negara yang dikatakan merdeka terhadap negara luar. Isi kemerdekaan pula adalah kedaulatan, dan kedaulatan adalah dalam bentuk kekuasaan dan kemakmuran rakyat. Dalam negara demokrasi kedaulatan rakyat adalah kemuncak kuasa tertinggi negara, sebab di tangan rakyatlah terletaknya kuasa sesebuah pemerintahan yang Adam Lincoln menyebutnya sebagai ‘of the people, by the people and for the people’.

Malangnya, konsep kedaulatan rakyat dalam konteks Malaysia yang Malaya dan Borneo di dalamnya, para pemimpin yang bertopengkan demokrasi kotor boleh menukar kedaulatan rakyat (demokrasi) kepada yang hitam menjadi putih, dan yang salah menjadi benar. Justeru, muncullah pelbagai salah laku oleh para politikus haprak yang mencabul kedaulatan rakyat berkerajaan, bermasyarakat dan bernegara dengan cara yang baik dan jujur dalam konteks isu yang berhubung dengan Pengundi Hantu, IC Projek dan manipulasi laporan media yang bias dan pembohong.

Sesungguhnya, hak untuk menentukan nasib sendiri rakyat bangsa-bangsa Borneo dalam Malaysia adalah kehendak semulajadi manusia dalam konteks kesedaran tinggi terhadap kepentingan kedaulatan kemerdekaan berdasarkan kepada pendapat umum antarabangsa melalui pengiktirafan muktamad terhadap Borneo sebagai keluarga baru negara-negara merdeka yang berhak berdaulat di pentas dunia.

Akhirnya, mungkin Malaya telah berjaya selama 50 tahun ini menurunkan kedaulatan kemerdekaan Borneo kepada negeri ke-12 dan ke-13 dalam Malaysia, tetapi jika rakyat Borneo bersatu adalah tidak mustahil mampu menggulingkan ketuanan dan dominasi kuasa Malaya ke atas Borneo yang terang-terang telah mengkhianati hak rakyat bangsa-bangsa Broneo dalam Perjanjian Malaysia 1963 sebagai rakan kongsi yang sama taraf dengan Malaya dalam Malaysia. Justeru, seluruh rakyat bangsa-bangsa Borneo, beranilah bermaruah dengan menghancurkan pembodohan Malaya terhadap Borneo!

RAKYAT BERSATU BORNEO MENUJU MOMENTUM PATRIOT BORNEO!
- Naspazi (30/12/2013)

Sabah Daily

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.