KDN Kantoi Menipu: The Heat dapat kebenaran tukar kategori penerbitan kepada ‘isu semasa’ sebelum digantung

Tuesday 24 December 2013


Pengarang akhbar mingguan The Heat yang digantung bertemu dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini dan mengatakan mereka sudah menerima kelulusan untuk menukar kategori mereka kepada 'Isu Semasa' semenjak September lepas.

KDN menghantar dua surat tunjuk sebab kepada akhbar mingguan itu yang digantung Khamis lepas sebelum mereka menerbitkan keluaran edisi ke16.

“Kami telah membalas dua surat tunjuk sebab dari KDN bertarikh 27 November dan 2 Disember 2013 dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata pengarang dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawang www.theantdaily.com.

Akhbar mingguan itu diterbitkan oleh HCK Media yang juga mengeluarkan akhbar Focus Malaysia. Kumpulan media tersebut dimiliki oleh ahli perniagaan Sarawak Tan Sri Clement Hii, bekas wartawan yang mimiliki saham terbesar di Segi College.

Dalam kenyataan tiga perenggan itu, pengarang akhbar itu juga menafikan mereka menukar format tanpa memberitahu KDN. Salah satu dari alasan KDN menggantung akhbar itu adalah The Heat tidak memberitahu KDN mereka menukar pemegang saham.

Selain itu, ia turut memaklumkan yang akhbar itu telah mendapat kelulusan menukar kategori penerbitannya daripada kategori 'Ekonomi/Sosial' sewaktu permit penerbitannya diluluskan pada 8 Julai 2013, kepada kategori 'Isu semasa pada 18 September 2013.

"Pihak pengarang telah bertemu dengan pegawai-pegawai KDN sekali lagi hari ini, dan kami memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kementerian untuk menyelesaikan perkara ini.

"Pihak kementerian memberikan jaminan yang mereka akan mempertimbangkan rayuan untuk menarik balik penggantungan ini secara adil dan segera," katanya dalam kenyataan itu.

Akhbar mingguan The Heat dikatakan digantung penerbitannya berikutan laporan muka hadapan berkenaan perbelanjaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Perkara itu bagaimanapun dinafikan KDN yang sebaliknya berkata, The Heat digantung kerana mereka tidak memaklumkan berlaku pertukaran pemilikan dan hala tuju daripada sebuah akhbar perniagaan.

“Permit penerbitan The Heat mensyaratkan pemilik untuk memberitahu KDN jika berlaku pertukaran pemilikan.

“Tambahan pula, permit adalah untuk akhbar perniagaan mingguan. Bagaimanapun, syarat ini dilanggar,” kata KDN dalam satu kenyataan hujung minggu lalu.

The Malaysian Insider

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.