Ekonomi `tegangkan’ hubungan Semenanjung-Malaysia Timur

Monday 2 December 2013

KOTA KINABALU: Bekas pemimpin veteran Umno dan kabinet, Tengku Razaleigh Hamzah memberi amaran `ketegangan’ di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak akan menjadi lebih parah apabila keadaan ekonomi Malaysia semakin sulit.

Presiden Angkatan Amanah Merdeka Malaysia (Amanah) itu berkata jurang pembangunan antara wilayah Malaysia Barat dan Malaysia Timur, serta kos hidup yang lebih tinggi di dua negeri Borneo itu, jika dibiar berterusan bakal menggugat kestabilan negara.

“Suka saya memperingkatkan bahawa keperitan, ketegangan dan kesengsaraan di kalangan masyarakat akan cenderung untuk lebih parah pada masa-masa kesulitan ekonomi,” katanya dalam ucap utama berjudul “Cerita Mengenai Penubuhan Malaysia” di forum meja bulat “Malaysia dan Pelanggaran Perjanjian 20 Perkara Bersama Sabah” di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok di sini hari ini.

Forum itu dianjurkan ole Amanah cawangan Sabah dan dihadiri perwakilan pertubuhan-pertubuhan politik, kebudayaan, gereja-gereja, pemimpin masyarakat, akademik serta orang perseorangan.

Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang, Kelantan, berkata gambaran bahawa Lembah Kelang menikmati kekayaan yang jauh lebih tinggi (secara benar atau tidak) berbanding dua negeri Malaysia Timur tidak membantu sama sekali.

“Memandangkan masih terdapat kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak, terutamanya di kawasan pedalaman, yang diklasifikasikan sebagai miskin dengan taraf hidup yang jauh di bawah berbanding dengan penduduk bandar, maka tidak hairanlah jika perasaan tidak puas hati terhadap masyarakat Semenanjung dirasakan.

“Kenaikan harga petrol baru-baru ini juga memburukkan lagi keadaan bilamana kos tambahan kedua-dua barang dan perkhidmatan dibebankan kepada pengguna. Ini akan meningkatkan lagi masalah kewangan yang dialami oleh golongan miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya sambil menambah kerajaan perlu serius memikirkan cara-cara mengatasi masalah tersebut.

“Saya fikir sudah tiba masanya untuk kerajaan menyerap peningkatan kos ini dan meringankan beban masyarakat.

“Seandainya ini ditangani dengan betul, saya yakin proses untuk mengurangkan persepsi negatif terhadap Kuala Lumpur yang menghantui pemikiran masyarakat di Sabah dan Sarawak akan berjaya,” katanya lagi.

Teks penuh

Tengku Razaleigh atau juga dikenali Ku Li membaca sepenuhnya teks ucap utama seperti 27 September lalu di majlis anjuran The Royal Asiatic Society cawangan Malaysia di Kuala Lumpur, cuma kali ini beliau menyampaikannya dalam bahasa Malaysia.

Beliau yang pernah berkhidmat dengan empat Perdana Menteri Malaysia, juga turut mengulangi gesaan supaya semua pihak termasuk Kerajaan Pusat agar bersikap terbuka terhadap saranan melihat semula Perjanjian Malaysia dan perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak.

“Kita sedar dan harus terima hakikat bahawa maklumat berkaitan dengan penubuhan Malaysia dalam domain awam adalah tidak mencukupi atau tidak wujud sama sekali. Kekurangan ini sedikit-sebanyak telah menyebabkan `ketegangan’ antara rakyat Malaysia di kedua-dua belah Laut China Selatan.

“Yang pasti ketidakfahaman atau salah anggap ini bukanlah disengajakan tetapi disebabkan oleh kedaifan ilmu pengetahuan. Saya yakin bahawa kebanyakan perselisihan ini tidak lahir daripada niat jahat atau prasangka buruk.

“Kesilapan lazim yang menganggap bahawa Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di Malaysia adalah contoh terbaik. Ia adalah satu kesilapan yang mengundang berang atau kemarahan rakyat Sabah dan Sarawak terutama yang mengetahui sejarah mereka dan ini menghantui mereka,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa sejarah penubuhan Malaysia adalah bahagian sejarah yang penting dan mesti dimasukkan dalam kurikulum sekolah bagi memberi kefahaman yang menyeluruh kepada semua rakyat.

“Kita mesti memperbetulkan salah faham ini, dan sebagai permulaan, kita harus menyediakan fakta yang tepat mengenai penubuhan Malaysia,” ujar beliau lagi.

Ku Li turut mengingkatkan semua pihak berhubung taraf Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan dengan memetik amaran Laporan Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 yang berbunyi demikian : “Malaysia harus dianggap oleh semua pihak sebagai pertubuhan rakan kongsi, menggabungkan demi kepentingan bersama untuk mewujudkan sebuah negara baru tetapi mengekalkan keunikan (keperibadian) masing-masing.

“Jika terdapat sebarang ide atau pemikiran yang mengarah kepada Malaysia sebagai “pengambilalihan” wilayah-wilayah Borneo oleh Persekutuan Tanah Melayu dan menghilangkan keunikan (individualities) Borneo Utara dan Sarawak, maka konsep Malaysia tidak akan diterima dan berjaya”.

Turut hadir di forum ialah pengerusi Amanah cawangan Sabah, Datuk Wilfred Bumburing, Ketua Perhubungan PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin, Ketua parti Star cawangan Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan, bekas Peguam Besar Negeri, Datuk Stephen Foo dan aktivis, Datuk Patrick Sindu.
 

Free Malaysia Today

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.