Utusan Sultan Sulu Diberkas Di Long Danau

Wednesday 23 April 2014

Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo yang merupakan medan pendaratan kumpulan penceroboh atau pengganas Sulu pada Februari tahun lepas.


LAHAD DATU: Seorang lelaki yang mengaku dirinya diberi kuasa oleh "Sultan Sulu" untuk mengurus orang Suluk yang berada di daerah ini diberkas Selasa di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan, kira kira 16km dari bandar Lahad Datu.

Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada kira-kira 5.30 pagi dalam operasi khas diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berdasarkan maklumat Bahagian Pertahanan ESSCom.

Ketua Pengarah ESSCom Datuk Mohammad Mentek berkata, lelaki itu ditahan kerana memasang bendera Kesultanan Sulu" yang dikhuatiri boleh mempengaruhi semangat patriotik orang-orang Suluk yang sudah lama menetap atau menjadi warganegara di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut identiti lelaki yang hanya memiliki salinan kad pengenalan itu atas faktor keselamatan.

Pihak ESSCom mengesan bendera itu dipasang di rumah lelaki berkenaan semasa anggota keselamatan ESSCom diketuai pegawai memerintah 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membuat rondaan kira-kira pukul 9 malam di situ Ahad lepas, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

"Anggota kita yang membuat rondaan melihat ada bendera tersebut dipasang di salah satu rumah di kampung tersebut yang telah menimbulkan rasa curiga dan berikutan itu, anggota keselamatan tersebut telah melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan ESSCom dan seterusnya memaklumkan Briged ESSCom yang berpangkalan di Cenderawasih (Felda Sahabat).

"Anggota pertahanan dan keselamatan ESSCom yang membabitkan satu platun masing-masing dari RAMD, komander tentera dan VAT 69 (polis) telah mengepung perkampungan itu sebelum menyerbu rumah yang disyaki kira-kira pukul 5.30 pagi tadi," kata Mohammad.

Suspek telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut, katanya.

Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo yang merupakan medan pendaratan kumpulan penceroboh atau pengganas Sulu pada Februari tahun lepas.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.