Sudah tiba masanya tentera laut Amerika Syarikat memainkan peranan lebih penting. Di penghujungnya, kita patut hantar bil kepada Malaysia. Jika mereka tidak membayarnya, kita boleh mengenakan sekatan perdagangan..
Amerika Syarikat sepatutnya yang menjadi ketua dalam siasatan berhubung kehilangan penerbangan MH370, walaupun Malaysia menyatakan ia akan mengetuai pasukan penyiasat multinasional itu, kata kolumnis Washington Post.
Penganalisis politik, Ed Rogers dalam artikelnya bertajuk “Ini masanya Amerika ambil alih siasatan pesawat MH370 Malaysia Airlines” semalam berkata, siasatan kejadian itu sudah berlanjutan untuk tempoh yang terlalu lama.
“Republican perlu mendesak presiden untuk memberitahu dunia, Amerika Syarikat mengambil alih peranan ketua dalam siasatan, mencari, menemui dan laporan akhir.
“Sudah tentu, beliau perlu berbuat demikian secara diplomatik dan menggalakkan pertolongan pihak lain, tetapi sudah tiba masanya tentera laut Amerika Syarikat memainkan peranan lebih penting.
“Di penghujungnya, kita patut hantar bil kepada Malaysia. Jika mereka tidak membayarnya, kita boleh mengenakan sekatan perdagangan. Ini bukan lagi tragedi asing, ini adalah masa untuk mendapatkan kepastian,” katanya.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam berkata bekas ketua penjawat awam akan mengetuai pasukan penyiasatan multinasional untuk menyiasat kehilangan pesawat MH370.
Beliau berkata, Datuk Kok So Chon dilantik sebagai ketua penyiasat dalam pasukan siasatan antarabangsa itu.
Kok adalah bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam dan juga bekas wakil tetap ke Organisasi Penerbangan Awam di Montreal, Kanada.
"Adalah penting untuk Putrajaya membentuk pasukan bebas ini yang bukan sahaja cekap dan telus tetapi juga boleh dipercayai,” kata Hishammuddin.
Rogers berkata, sumber Amerika sudah pun dihantar untuk mencari bangkai pesawat itu dan pihak negara lain turut bekerja keras, dan keadaan itu menyebabkan dunia kini keliru siapa sebenarnya yang mengetuai operasi itu dan siapa yang boleh memberitahu perkara sebenar.
“Melihat kepada apa yang berlaku setakat ini, bagaimana kita boleh mengharapkan Malaysia untuk memberitahu perkara sebenar kepada dunia? Jika laporan hari ini adalah tepat, dan ada syarikat swasta yang menemui bukti bangkai pesawat itu sejak sebulan lalu, ia akan membuktikan apa yang saya cakap.
“Seseorang perlu jadi ketua, dan ia adalah Amerika. Ada banyak kepentingan perlu dijaga. Apa yang penting ialah kebenaran,” katanya.
Rogers turut mengkritik Putrajaya kerana tidak menyelaras pencarian itu dengan baik, dan menambah idea meminta Amerika Syarikat mengambil alih adalah langkah berisiko.
“Amerika mengambil alih dengan risiko, dan ia tidak konsisten dengan hasrat presiden untuk menolak idea eksepsionalisme Amerika – atau kepimpinan Amerika pada era Obama.
“Tidak hairan presiden bersimpati dengan idea eksepsionalisme Malaysia. Mereka sudah mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan diri, dan mereka masih belum berjaya,” katanya.
Artikel pendapat Roger itu bagaimanapun mendapat banyak komen negatif daripada pembaca kolum itu.
@malloy207 menulis:”Ed, sama ada 1) seseorang menceroboh masuk kolum anda dan menulis perkara mengarut menggunakan nama anda, atau 2) anda sudah hilang akal.
@BillWeston menulis:”Ed adalah jelas seorang rakyat Amerika yang “luar biasa” kerana dengan logik kebudak-budakannya menghina kemampuan negara lain.”
@JOsborne menyertai debat itu dengan menulis:”Saya tidak tahu apa yang lebih memalukan, seseorang benar-benar menulis artikel ini atau WP yang menerbitkannya.”
Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) pagi ini berkata, pencarian penerbangan MH370 kini memasuki fasa baru dan akan beralih kepada pencarian bawah laut dalam minggu yang akan datang.
Sementara itu, Bluefin-21 yang selesai mencari di kawasan seluas 314 kilometer persegi di sekitar kawasan yang dikesan oleh pengesan ping tertunda, akan meneruskan pencarian di kawasan bersebelahan.
Misi ke-17 akan dijalankan apabila keadaan cuaca bertambah baik yang membolehkan Bluefin-21 diturunkan dengan selamat daripada kapal pertahanan Australia, Ocean Shield, kata kenyataan JACC.
Pesawat Tentera Udara Diraja Australia AP-3C Orion juga kekal diletakkan dalam keadaan bersedia di Perth.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.