Satu catatan sejarah yang telah menjadi kenangan pahit bagi rakyat Sabah khususnya penduduk Semporna. Semoga ianya menjadi tauladan kepada pihak berkenaan.
Hari itu, 29 April, 1954, hari yang paling malang bagi penduduk Semporna. Hari yang paling celaka, yang mengorbankan nyawa dan harta benda. Malah ada yang dicabul kehormatan, dirogol dan diperkosa.
Tarikh hitam itu masih kekal dalam ingatan penduduk yang menyaksikan peristiwa berdarah akibat perbuatan ganas mundu-mundu (lanun-lanun) yang datangnya entah dari mana.
Pekan Semporna yang terletak di pinggir laut sepertimana biasa, aman dan damai. Petang itu, udara menghembus nyaman dari laut yang biru dan tenang.
Padang bola sepak yang terletak berhampiran dengan Balai Polis Semporna telahpun dipenuhi oleh peminat-peminat bolasepak yang saban petang punya pengunjungnya. Mereka bermain dengan begitu seronok sekali. Beberapa anggota polis juga turut bermain untuk mengeluarkan peluh di samping memupuk hubungan baik dengan masyarakat setempat.
Balai Polis Semporna yang terletak di bawah Kawalan Ketua Polis Daerah (OCPD) Lahad Datu mempunyai keanggotaan 7 orang sahaja. Ketua Polis Balai (OCS)- nya ialah Sarjan Sagar Singh. Perhubungan antara Balai Polis Semporna dengan ibu pejabat daerahnya di Lahad Datu hanya menerusi radio wireless dan jalan laut sahaja yang memakan masa lebih kurang 10 jam perjalanan.
Peristiwa berdarah itu masih segar dalam ingatan Encik Bullah Ganggal, bekas pegawai polis yang baru bersara dengan pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP). En.Bullah, keturunan Kadazan, semasa kejadian itu, beliau bertugas di balai polis tersebut dengan pangkat Detektif Lans Koperal.
“Segala-galanya bermula pada jam 5.30 petang. Pada masa itu penduduk-penduduk Semporna sedang berehat setelah kembali dari menangkap ikan. En.Bullah Ganggal memulakan ceritanya.
“Para pemuda pula sedang seronok bermain bola. Ia turut berada berhampiran padang bola itu. Tiba-tiba bunyi tembak bertalu-talu dari arah jeti yang tidak jauh dari situ ”, katanya.
“Orang di pekan dan di padang itu lari bercempera sambil berteriak, mundu! mundu ! (lanun ! Lanun !) cepat lari. Masing-masing mencari tempat perlindungan ".
“Melihatkan keadaan kelam-kabut dan serangan mengejut lanun itu, Sarjan Sagar Singh segera memerintahkan orang-orangnya bersiap sedia. Ia memerintahkan saya membawa isteri dan anak-anak anggota polis Semporna berlindung di balai. Ini disebabkan keadaan di balai itu lebih selamat kerana adanya pagar berduri dan segala senjatapi serta peluru ada di sana ".
L/Kpl Bullah Ganggal segera bertindak dengan menjerit memanggil semua isteri dan anak-anak polis untuk mengikutnya ke balai.
“Belum sempat isteri-isteri dan anak-anak polis itu saya lindungkan di balai, saya lihat dari celah-celah lubang berek kami, lanun-lanun yang ramainya tidak kurang 50 hingga 70 orang itu telahpun hampir dengan Balai Polis Semporna. Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mara ke balai polis satu lagi ke arah bot jabatan hutan ”.
Sementara itu di balai polis, Sarjan Sagar Singh dengan dibantu oleh orang-orangnya iaitu PC 442 Sulaiman dan PC Jambuan memuntahkan peluru ke arah lanun-lanun yang begitu ramai. Sarjan Sagar Singh dan orang-orangnya tidak sekali-kali mahu menyerah kalah kepada lanun-lanun itu sekalipun terpaksa mengorbankan nyawa mereka.
Sambil memuntahkan peluru ke arah balai yang dipertahankan bermati-matian oleh Sarjan Sagar Singh, lanun itu memusnahkan alat-alat hubungan wireless di luar balai. Dengan itu hubungan Balai Polis Semporna dengan Ibu Pejabat Daerah Polis Lahad Datu TERPUTUS.
“Kita mesti pertahankan balai ini hingga ke titisan darah terakhir. Biar putih tulang, jangan putih mata ”, kata Sagar Singh kepada dua orang anggotanya dengan penuh semangat. Mereka terus melawan dengan beraninya.
En.Bullah Ganggal yang ditugaskan melindungi isteri dan anak-anak polis tidak dapat berbuat apa-apa kerana pada masa itu senjata tiada di tangannya. Kalau dia keluar tanpa senjata tentu seperti menyerah diri tanpa berlawan. Ia melihat bagaimana rakannya PC Jambuan yang kehabisan peluru ditikam dengan barung (parang) oleh lanun-lanun itu. Ia dibunuh dengan kejam sekali di mana perutnya diburaikan.
Akhirnya kerana kehabisan peluru dan lanun-lanun yang ramai itu bersenjatakan senjata-senjata automatik, maka Sarjan Sagar Singh dan dua orang anggotanya terkorban. L/Kpl Bullah Ganggal cuba untuk keluar dari tempat persembunyian untuk memberi bantuan tetapi dihalang oleh permintaan isteri Sjn.Sagar dan isteri-isteri anggota polis yang lain supaya jangan pergi dan melindungi mereka di situ.
Bila saja lanun-lanun itu mendapati Sjn Sagar dan orang-orangnya terkorban, mereka lalu merempuh ke dalam balai polis. Bilik radio polis dipecah dan alat-alatnya dimusnahkan. Mereka juga memecahkan bilik besi tempat menyimpan senjata api dan peluru lalu merampasnya.
Lanun-lanun itu semakin menganas. Senjata api mereka ditembak ke sana ke mari. Mereka terus menggeledah seluruh rumah dan kedai di pekan Semporna.
“Apa yang saya dengar lepas itu ialah teriakan dan jeritan minta tolong oleh mangsa-mangsa lanun-lanun yang jahat itu. Mereka bukan sahaja merompak, mengambil apa sahaja barang-barang berharga, makanan, malah mereka juga merogol wanita dan anak dara. Mereka sungguh kejam dan tidak berkeperimanusiaan langsung”, Kata En.Bullah dengan perasaan amat geram.
“ Apakan daya masa itu saya tidak bersenjata dan memikirkan pula keselamatan anak isteri anggota-anggota polis. Saya kesal tidak dapat membantu kawan-kawan saya yang gugur sebagai perwira negara ".
“Lanun-lanun celaka itu telah bermaharajalela selama 3 jam iaitu dari jam 5.30 hingga 8.30 malam di pekan Semporna. Mereka melakukan pelbagai dosa yang tidak dapat diampun ", terang beliau lagi.
Menurut En.Bullah ia tidak tahu dari mana datangnya lanun-lanun itu tetapi ia mengagak dari percakapannya adalah dari Seberang (Filipina).
Selama 3 jam Semporna telah menjadi neraka. Lanun-lanun bertindak sewenang-wenangnya kerana tiada siapa berani melawannya. Akibatnya, Semporna musnah semacam diserang garuda, menjadi padang jarak padang tekukur. Setelah lanun-lanun itu puas memuaskan hawa nasfu, mereka segera menghilangkan diri di lautan luas dengan kumpit-kumpit (perahu) yang dilengkapi dengan motorsangkut laju.
“Bila mendapati lanun-lanun itu berlalu, saya dan anak isteri anggota-anggota polis keluar dari tempat persembunyian di berek polis. Betapa sedih hati saya melihatkan rakan-rakan saya, Sjn Sagar, PC Jambuan, PC Gimun terkorban. Mayat mereka yang berlumuran darah dipeluk dan ditangisi oleh anak dan isteri masing-masing. Saya turut menitiskan air mata melihatkan peristiwa itu. Hingga hari ini ianya kekal dalam ingatan saya, ” ceritanya lagi.
L/Kpl Bullah segera mengambilalih tugas Ketua Polis Balai. Didapatinya dua orang anggotanya masih hidup. Mereka itu sedang bermain bola ketika lanun menyerang. Oleh kerana tidak sempat lari ke balai, mereka terpaksa bersembunyi.
Setelah menguruskan mayat empat orang rakannya L/Kpl Bullah terus berbincang dengan Ketua Anak Negeri (Penghulu) Semporna, Panglima Jakarullah yang telahpun tiba di balai bersama-sama orangnya.
Dengan bantuan mereka, dia membuat rondaan di sekitar bandar Semporna untuk mengumpul mayat dan memberi pertolongan kepada orang yang cedera akibat kekejaman lanun-lanun tadi. Hasilnya mereka menemui mayat seorang pegawai hutan British, seorang pekedai Cina (tukang jahit) dan seorang pemuda Bajau Semonul. Mayat -mayat itu dibawa ke balai polis untuk diuruskan.
L/Kpl Bullah seterusnya mengadakan perbincangan dengan Panglima Jakarullah dan orang-orangnya pada malam kejadian itu. Mereka mengambil keputusan untuk menghantar dua orang awam ke Lahad Datu bagi membawa pembantu hospital Harry Chew dan Lian Chap Yit yang luka parah mendapat rawatan. Di samping itu mereka juga diarahkan meminta bantuan segera dari KPD Lahad Datu yang tidak dapat dihubungi menerusi wireless radio.
Pada malam itu L/Kpl, Bullah dan Panglima Jakarullan serta orang-orangnya mengambil keputusan untuk berjaga dan berwaspada bagi menentang lanun-lanun yang mungkin datang sekali lagi.
Petang esoknya, 30hb, Mac barulah rombongan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Mr.Dalimore dan Ketua Polis Daerah (OCPD), Mr.W.R.H. Roberts tiba untuk menyaksikan pekan Semporna yang hampir menjadi padang jarak padang tekukur itu.
Peristiwa ngeri itu amat menakutkan penduduk-penduduk Semporna. Ada di antara mereka yang lari bersembunyi tidak mahu balik ke rumah beberapa hari kerana takutkan lanun mengganas lagi. Seorang kakitangan kerajaan yang bertugas di Semporna, ketika kejadian itu terus jadi ' gagap ' hingga ke hari ini kerana terlampau terkejut, gamam dan ketakutan.
Sumber: Berita Bukit Aman, 1983
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.