MERS lebih bahaya dari SARS, tapi tidak mudah merebak

Wednesday 23 April 2014

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga dilaporkan berkata bahawa mereka sedang berjaga-jaga dan merangka pelan, selepas lebih banyak kes MERS dilaporkan di Filipina. Kebimbangan mereka tertumpu kepada pergerakan merentas sempadan di antara Sabah dan Selatan Filipina.


PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak perlu membatalkan perjalanan mereka ke negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi, jika mereka telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang secukupnya untuk melindungi diri mereka daripada virus korona sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS - CoV).

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr NKS Tharmaseelan berkata walaupun kematian seorang lelaki berusia 54 tahun dari Johor adalah kematian yang pertama seumpamanya di Asia, "tidak ada sebab untuk bimbang sebarang penyebaran serius wabak MERS-CoV di rantau ini" .

"Kementerian Kesihatan telah mempertingkatkan usaha mengawal penyebarannya, dengan mengenal pasti dan mengasingkan individu yang telah melakukan perjalanan dengan lelaki itu.

"Bagaimanapun , mereka yang mengalami demam, batuk dan sesak nafas dalam tempoh 14 hari selepas perjalanan ke Semenanjung Arab dan negara-negara jirannya, perlu melaporkan diri ke hospital terdekat dan memaklumkan doktor mengenai perjalanan terbaru anda," katanya kepada theantdaily.

Beliau mengulas mengenai amaran yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan kepada rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke Timur Tengah, untuk mempertingkatkan tahap kebersihan mereka dengan membasuh tangan dengan sabun, dan mengsanitasi tangan mereka setelah batuk dan bersin.

"Orang ramai perlu memakai topeng mulut dan menjauhkan diri daripada sesiapa yang sakit. Mereka juga harus mengelakkan makan makanan mentah, buah-buahan yang tidak dibasuh atau minum air yang tidak dirawat sewaktu kunjungan mereka.

"Agensi-agensi perjalanan yang mengendalikan pakej umrah dan haji perlu meningkatkan kesedaran mengenai virus ini dan menasihati pelanggan mereka," kata ketua pengarah Kementerian Kesihatan, Noor Hisham Abdullah.

Ini berikutan laporan bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail Johor akibat pneumonia akut, selepas dijangkiti MERS pada 13 April.

Mangsa kembali ke Malaysia pada 29 Mac selepas melakukan umrah, dan mengadu demam, batuk dan sesak nafas. Beliau dimasukkan ke hospital pada 10 April.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengarahkan 64 orang di kampungnya, Kampung Bintang untuk dikuarantin selama seminggu selepas menunjukkan simptom-simptom MERS-CoV.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah juga dilaporkan berkata bahawa mereka sedang berjaga-jaga dan merangka pelan, selepas lebih banyak kes MERS dilaporkan di Filipina. Kebimbangan mereka tertumpu kepada pergerakan merentas sempadan di antara Sabah dan Selatan Filipina.

Tharmaseelan berkata: " MERS-CoV ialah penyakit pernafasan virus yang pertama kali dilaporkan pada 2012 di Arab Saudi, ditemui dalam paru-paru seorang lelaki berusia 60 tahun dengan radang paru-paru dan kegagalan buah pinggang akut.

"MERS-CoV sering dirujuk sebagai sebuah virus seperti SARS, atau hanya virus korona novel, dan digelar di papan-papan mesej Internet sebagai 'SARS Saudi’.

"MERS-CoV bukan jenis virus korona yang sama seperti virus sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS), yang telah menjangkiti lebih daripada 8,000 orang dan meragut lebih dari 700 nyawa selepas ia merebak pada tahun 2003.

"Walau bagaimanapun seperti virus SARS, MERS-CoV adalah paling serupa dengan virus korona yang ditemui dalam kelawar. Penyebarannya ke Asia Tenggara adalah terhad kepada mereka yang telah melawat negara-negara Timur Tengah buat masa sekarang, mencetuskan kebimbangan bahawa ia boleh menjadi satu lagi episod SARS.

"Laporan menunjukkan bahawa ia tidak merebak dengan cepat di antara manusia seperti SARS, buat masa ini. Walau bagaimanapun, ia seolah-olah lebih berbahaya."

Tharmaseelan berkata bahawa tiada rawatan khusus yang disyorkan bagi penyakit yang disebabkan oleh MERS-CoV, dan penjagaan perubatan yang tersedia adalah bagi membantu melegakan simptomnya.

"Adalah lebih baik untuk mengikuti langkah berjaga-jaga, seperti membasuh tangan dan mengelak dari berada berdekatan dengan orang-orang yang sakit. Mereka juga mesti memakai topeng dan tidak melawat ladang ternakan semasa berada di negara-negara Timur Tengah," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.