Mana ESSCOM? Lagi Kes Culik Warga China di Semporna

Thursday, 3 April 2014


Baru beberapa hari lepas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah menyambut ulang tahun yang pertama sejak penubuhannya pada 1 April tahun lepas. Kononnya ESSCOM dilihat sebagai satu harapan baru untuk penduduk Sabah ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pencerobohan pengganas atau kemasukan orang asing secara haram untuk melakukan jenayah rentas sempadan, Ketua Pengarah Datuk Haji Mohammad Mentek berkata ESSCOM telah meningkatkan kekerapan rondaan keselamatan di waktu malam, dan hasil daripada integrasi, kerjasama dan kolaborasi agensi pertahanan dan keselamatan, tiada lagi insiden pencerobohan yang baru.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku semalam, dimana tujuh lelaki telah menyerbu sebuah resort di Semporna sebelum menculik dua individu - seorang pekerja warga Filipina dan seorang pelancong dari China yang berada disitu. Jelas membuktikan bahawa ESSCOM gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Pengarah ESSCOM. Jika benarlah ESSCOM telah meningkatkan kekerapan rondaan keselamatan pada waktu malam, insiden penculikan ini tidak akan berlaku.

Pada hari ini, Malaysia dan kerajaan Barisan Nasional masih berhadapan dengan kemarahan dan kritikan dari negara asing terutamanya China ekoran kehilangan pesawat MH370. Malah terdapat juga laporan media bahawa warga China telah mula memboikot syarikat penerbangan MAS dan juga industri pelancongan Malaysia. Ketika seluruh warga China masih bersedih, marah dan mengutuk kerajaan Malaysia, kini mereka bakal dihidangkan pula dengan laporan seorang warga mereka telah diculik di Semporna.

Sebagai rakyat Malaysia/Sabah, saya berasa sungguh malu dengan kelemahan kerajaan dalam menangani kes-kes rentas sempadan, pengganas, penculikan atau apa sahaja yang berkaitan dengan keselamatan rakyat dan juga pelancong asing. Saya tidak salahkan pelancong asing (China) jika mereka mula memboikot industri pelancongan Malaysia atau agensi penerbangan Malaysia... kerana apa yang mereka lalui di Malaysia setakat ini amat sesuai jika saya gambarkan sebagai "mangsa", sementara kerajaan Malaysia adalah "pemangsa".

Kerajaan tidak perlu mengharapkan rakyat untuk menyokong kerajaan atau membantu kerajaan dalam menghadapi situasi sukar seperti hari ini, kerana kerajaan sendiri tidak pernah menunaikan janji atau jaminan keselamatan kepada rakyat dan pelancong asing sebagaimana yang telah digariskan dalam objektif penubuhan ESSCOM. Malah saya lebih suka jika menteri-menteri yang berkenaan melepaskan jawatan sebelum imej Malaysia jatuh ketahap yang lebih buruk.

Baca laporan berikut:

 
KUALA LUMPUR: Tujuh lelaki telah menyerbu sebuah resort di Semporna sebelum menculik dua individu - seorang pekerja warga Filipina dan seorang pelancong dari China yang berada disitu. Sumber polis memberitahu kejadian berlaku pada jam 10.30 malam semalam apabila suspek yang bersenjatakan senapang M14 tiba ke resort atas air itu dengan menggunakan bot.

Tiga dari suspek tersebut – seorang daripadanya mengenakan topeng muka telah naik ke resort tersebut manakala empat yang lain menanti di dalam bot. Suspek mengarahkan seorang pekerja di situ yang sedang menonton TV di sebuah bilik supaya diam dan tidak melakukan apa-apa namun disebabkan ketakutan, pekerja tersebut telah bertindak terjun ke dalam laut demi mengelakkan diri dari diapa-apakan oleh penjenayah tersebut.

Mereka kemudian telah membawa lari seorang pekerja resort yang lainnya dan seorang pelacong yang bercuti di resort tersebut. Mangsa yang dilarikan dipercayai dikenali sebagai Marcy Dayawan, 40, pekerja resort tersebut dari Filipina manakala seorang lagi dikenali sebagai Gao Hua Yuan, 29, seorang pelacong warganegara China. Gao telah mendaftar masuk ke resort tersebut pada semalam dan dijangka berada di situ sehingga Sabtu ini.

Suspek dipercayai berbangsa Sulu kerana dikesan berdasarkan loghat percakapannya dan kesemua suspek melarikan diri kearah Pulau Gaya dan mereka juga dikatakan fasih berbahasa Melayu. Ketika kejadian, 61 pelancong menginap di resort tersebut dan 47 pekerja sedang bertugas di resort tersebut. Jarak antara resort tersebut dengan Pekan Semporna adalah 2.2 batu nautika. - astroawani

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.