Catuan Bekalan Elektrik Secara Bergilir - SESB

Friday, 4 April 2014

 
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menjangkakan tiada catuan bekalan elektrik dikuatkuasakan hujung minggu ini memandangkan permintaan tenaga yang agak rendah pada hari Sabtu dan Ahad berbanding hari bekerja biasa.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Muhamad Nazri Pazil berkata pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna berikutan daripada catuan bekalan elektrik yang terpaksa dikuatkuasakan sejak 31 Mac lepas.

"Pihak SESB juga akan terus memantau status bekalan elektrik di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menjamin kestabilan Sistem Rangkaian Grid Sabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, catuan bekalan elektrik hanya akan dikuatkuasakan sekiranya kapasiti janaan elektrik sedia ada tidak dapat menampung permintaan bekalan elektrik semasa.

Katanya, catuan bekalan juga dilaksanakan secara bergilir di seluruh kawasan yang menerima bekalan elektrik daripada Sistem Rangkaian Grid termasuk bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

"Pengguna juga digalakkan untuk merujuk kepada laman sesawang SESB di www.sesb.com.my atau menghubungi talian Hotline 15454 atau 088-515000 bagi mendapatkan jadual atau info terkini mengenai catuan bekalan elektrik yang mungkin melibatkan kawasan mereka," katanya.

Beliau berkata, jadual yang dimuat naik itu sebagai panduan dan sekiranya kapasiti penjanaan pada masa itu mencukupi, maka catuan bekalan tidak akan dikuatkuasakan.

"Bagi mengelakkan kekeliruan terhadap kawasan yang mungkin mengalami gangguan elektrik, maka jadual ini hanya akan dimuat naik pada hari yang sama.

"Jadual catuan juga membolehkan pihak SESB mengenal pasti status kapasiti penjanaan elektrik sedia ada pada hari berkenaan dan sama ada ia dapat menampung permintaan pada waktu beban puncak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata aktiviti Pengurusan Beban Pengguna (DSM) terhadap Pengguna Kuasa Besar (LPC) di seluruh Sabah akan dikuatkuasakan pada waktu beban puncak bagi mengurangkan impak gangguan elektrik kepada lebih 500,000 pengguna di seluruh negeri Labuan.

"DSM hanya membabitkan LPC seperti kilang-kilang besar yang mempunyai set janakuasa sendiri dan tidak melibatkan pengguna domestik/komersil," katanya.

Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.