Kenaikan tarif elektrik situasi 'menang-menang'?

Tuesday, 3 December 2013

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyifatkan kenaikan kadar purata tarif elektrik bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan sebanyak lima sen kilowatt sejam (kWj) atau 16.9 peratus berkuatkuasa 1 Januari 2014 sebagai situasi ‘menang-menang’ antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan pengguna.

Sambil menyambut baik pengumuman ini, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, keputusan untuk menaikkan kadar tarif ini dibuat oleh Kerajaan Persekutuan demi memajukan dan meningkatkan kualiti bekalan elektrik di negeri ini.

“Kenaikan ini membolehkan perbelanjaan terhadap penyaluran bekalan tenaga dapat menampung jumlah keperluan terhadap bekalan elektrik yang semakin meningkat kini,” kata Pairin dalam sesi sidang media, di sini, kelmarin.

Sidang media tersebut diadakan selepas Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili membuat pengumuman Mengenai Semakan Semula Tarif Elektrik di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan melalui sidang video.

Menurut Pairin, kenaikan kadar tarif ini juga memberi jaminan bahawa prestasi dan kapasiti SESB akan terus meningkat dan efisien dalam membekalkan tenaga elektrik.

“Usaha untuk mengurangkan sistem indeks purata tempoh gangguan (SAIDI) oleh SESB dapat diteruskan lagi melalui kenaikan tarif ini,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga menjangkakan pihak pembangkang akan mempolitikkan kenaikan kadar tarif elektrik ini seperti yang telah dilakukan terhadap kenaikan harga minyak dan gula.

Namun, segala dakwaan dan tohmahan yang bakal dilemparkan tidak akan diendahkan oleh kerajaan memandangkan segala kenaikan harga dan tarif yang dilaksanakan bertujuan memberi kebaikan kepada rakyat untuk jangka masa yang panjang.

“Apa yang kita (kerajaan) fikirkan sekarang ini adalah secara keseluruhan termasuk untuk mengukuhkan lagi ekonomi demi memberi kebaikan kepada rakyat di mana pengumuman kenaikan tarif elektrik ini perlu dilihat dengan menggunakan kebijaksanaan,” katanya.

Selain bantuan dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri juga sentiasa mencari langkah yang terbaik untuk membantu SESB memberikan perkhidmatan yang lebih memuaskan kepada pengguna, katanya.

Juga, Pairin menyeru kepada seluruh pengguna elektrik di Sabah dan WP Labuan menjadikan kadar tarif elektrik ini sebagai satu platform untuk mengubah sikap dan cara menggunakan tenaga elektrik kepada yang lebih efisien dan berhemat.

New Sabah Times

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.