Sektor tenaga perlu ramai pekerja berkemahiran tinggi

Sunday 1 June 2014

Ramai orang Sabah berminat bekerja dalam industri tenaga tetapi mereka tidak ada kemahiran..

KOTA KINABALU: Sektor minyak dan gas di negeri ini memerlukan ramai pekerja berkemahiran untuk menyertai industri ini yang semakin berkembang berikutan penemuan beberapa buah telaga minyak di perairan Sabah dan bidang berkaitan.

Peluang pekerjaan dalam industri ini semakin banyak bukan saja dengan adanya syarikat minyak Petronas dan Shell tetapi juga peluang yang diberi oleh syarikat tenaga dari luar negara.

Syarikat tenaga gergasi dari Kanada misalnya, Talisman Energy, tiba di Sabah baru-baru ini untuk memperkenalkan peluang-peluang yang boleh diterokai penduduk Sabah yang mahu bekerja dalam industri tenaga.

Ketua Kumpulan Pengurusan Pendidikan dan Pembelajaran Sumber Manusia Petronas, Nelly Francis berkata, syarikatnya ada beberapa kriteria untuk memilih pekerja yang berbakat.

“Pertama ialah sikap di mana seseorang pekerja perlu ada inisiatif untuk mencari orang lain dan sentiasa bertanyakan soalan. Kami juga mencari mereka yang ada skil komunikasi yang baik.

“Malang sekali, ramai orang Sabah malu untuk berbual dalam bahasa Inggeris. Jadi kenalah asah bakat komunikasi dalam bahasa antarabangsa itu.

“Kriteria ketiga ialah mampu berfikir sebab dalam industri ini, banyak perkara perlu diputuskan dengan segera jika pantas berfikir,” katanya di majlis Sidang dan Pameran Minyak dan Gas Sabah ketiga di sini, kelmarin.

Kira-kira 100 orang termasuk pelajar sekolah hadir ceramah mengenai peluang kerjaya di majlis itu.

Menurut Nelly, ramai orang Sabah berminat bekerja dalam industri tenaga tetapi mereka tidak ada kemahiran yang diperlukan.

Oleh itu untuk membuka peluang, Petronas membina pusat latihannya sendiri di Kimanis di mana graduannya nanti akan menjadi tunggak untuk mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam industri itu.

Syarikat Shell pula mengakui sentiasa bersaing dengan Petronas untuk merekrut bakat baru tempatan dan ramai rekrut terbaharu mereka ialah 80 pekerja keluaran Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Pengurus rekrut Shell Malaysia Haria Djuli berkata, ketika penting bagi syarikat itu untuk mengupah pekerja-pekerja yang berbakat, mereka juga bekerjasama dengan kerajaan untuk membawa balik pekerja Malaysia dari luar negara untuk memberi sumbangan kepada negara.

Selain telaga baharu, pembangunan Projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis juga memerlukan ramai pekerja mahir.

Ini selaras dengan agenda kerajan melahirkan modal insan yang berpengetahuan serta berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan pengurusan seterusnya mengisi peluang-peluang kerjaya dalam bidang terbabit.

Menjelang tahun 2020 dijangka sektor minyak, gas dan tenaga di negara ini akan memerlukan sekitar 21,000 pekerja berkemahiran tinggi bagi memacu pembangunan sektor itu.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.