Kerajaan Najib membelanjakan rm70 juta untuk dua ekor panda yang diPINJAM dari kerajaan China, tapi haiwan terlindung di Sabah terus diancam kematian kerana kekurangan peruntukkan..
KOTA KINABALU: Pencinta haiwan dan pakar hidupan liar di Sabah tidak puas hati dengan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang sanggup membelanjakan RM 70 juta untuk dua ekor panda yang dipinjam dari kerajaan China padahal beliau mengetahui tentang peningkatan kematian di kalangan haiwan yang terlindung dan kekurangan peruntukan dalam penjagaan haiwan liar di negara ini.
Contohnya, Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) yang mengalami kekurangan dana dan dikatakan sukar untuk melaksanakan penguatkuasaan dan perlindungan yang diperuntukkan melalui Enakmen Perlindungan Hidupan Liar Sabah 1997; akibatnya banyak kes kematian haiwan terlindung tidak dapat dijawab.
“Kerajaan Sabah hanya memperuntukkan sejumlah RM15 juta setahun untuk membiayai segala usaha penjagaan, pemulihan dan penguatkuasaan kawasan hutan dan haiwan liar,” kata satu sumber rasmi.
Dari jumlah tersebut hanya sebanyak RM0.5 juta yang di peruntukan untuk Zoo Lok Kawi di Sabah setahun dan adalah amat sedikit berbanding dengan peruntukan yang diberikan kepada pasangan panda Xing Xing dan Feng Ying sebanyak RM5 juta setahun.
Zoo Lok Kawi atau dikenali sebagai Taman Hidupan Liar Lok Kawi yang dibuka pada tahun 2007 dikendalikan oleh SWD berkeluasan 280 ekar dan merupakan antara taman haiwan yang terbesar di Malaysia namun sering mengalami kekurangan tenaga kerja bagi pengendalian kerja seharian, menurut sumber tersebut.
“Peruntukkan yang diberikan kerajaan tidak cukup untuk menampung jumlah haiwan yang terkandas di pusat perlindungan dan zoo kerana banyak haiwan seperti gajah, orang hutan dan haiwan lain yang dipindahkan ke pusat haiwan tersebut telah bertambah,” kata sumber itu.
“Ini menyebabkan haiwan yang tinggal di kawasan tersebut tidak mendapat penjagaan yang secukupnya kerana kekurangan pekerja yang berpengalaman dan kawasan tempat tinggal haiwan tidak sesuai kerana kekurangan peruntukan untuk rancangan perluasan.”
Antara haiwan yang terdapat di Zoo Lok Kawi adalah gajah pygmy, orang utan, monyet proboscis, buaya, beruang malaya, kera, kijang, rusa dan lain lain.
Kerajaan Sabah masih gagal mengenal pasti punca pembunuhan gajah Borneo
Di Sabah terdapat sebanyak 200 spesies haiwan mamalia, lebih kurang 540 spesies burung dan 100 spesies reptilia dan di antara yang terlindung adalah badak sumatera, orang utan, beruang, banteng, kera bekantan, harimau dahan, gajah kerdil borneo, julung, penyu hijau dan penyu sisik.
2013 mencatatkan peningkatan kematian hidupan liar terutamanya kematian sebanyak 14 ekor gajah Borneo di Hutan Simpanan Gunung Rara yang ketika ini Kerajaan Sabah masih gagal mengenal pasti pembunuhnya. - Free Malaysia Today