Saya percaya seminar di UiTM bukan yang terakhir dan kita akan melihat lebih banyak forum diadakan di seluruh negara dengan agenda dan motif yang sama – untuk menghina agama Kristian..
Semakin ramai yang marah apabila tiada tindakan menyiasat seminar bersentimen keagamaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mengenai penggunaan kalimah Allah dan Kristologi di mana beberapa penceramahnya memberi amaran kepada umat Islam terhadap ancaman Kristianisasi dan memperkecilkan Bible sebagai mengandungi “kisah dongeng”.
Enam laporan polis dibuat di Selangor dan Sarawak berhubung isu itu, kata pensyarah kolej swasta, Perzeus James dan pengarang, Uthaya Sankar Narayanan, iaitu sebahagian daripada pihak yang marah kerana tiada tindakan diambil terhadap university dan penceramah terbabit.
kedua-duanya membuat laporan polis pada 8 Mei dan berkata empat lagi laporan dibuat di Sarawak, dengan satu daripadanya oleh seorang Islam, dan beberapa lagi laporan dijangka dibuat di Sabah minggu ini.
Jame dan Uthaya berkata, mereka menunggu dua hari dan apabila menyedari tiada tindakan diambil terhadap acara yang jelas mengutuk Kristian itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Taman Sri Muda di Seksyen 25, Shah Alam.
“Kenyataan yang dibuat di seminar itu menghina dan mencerca Kristian dan saya harap pihak berkuasa mengambil insiatif untuk menyiasat penganjur dan penceramah secepat mungkin.
“Saya masih tidak faham bagaimana seminar seperti itu boleh diadakan di universiti awam, yang sepatutnya perlu ada nota syarahan berdasarkan kepada kerja penyelidikan,” kata James kepada The Malaysian Insider di Subang Jaya.
Uthaya berkata, penganjur seminar itu jelas tahu apa yang akan berlaku dalam acara itu.
“Saya pasti mereka mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai seminar itu, jadi semua orang pasti sedar akan berlaku keadaan membelasah Kristian dalam acara itu.
“Mereka juga mengedarkan buku oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan menjemput penceramah dari Indonesia untuk bercakap mengenai Kristian, tanpa memanggil pakar berhubung Kristian untuk hadir memberi pandangan mereka. Ini perbuatan yang sengaja dibuat,” katanya dan menambah tidak ada sesiapa yang berhak menghina agama lain.
Uthaya berkata, empat rakannya di Sarawak turut membuat laporan polis, iaitu dua di Kuching, satu di Bintulu dan satu lagi di Mukah.
Katanya, laporan polis akan dibuat di Sabah pada Sabtu.
Pada seminar yang diadakan di UiTM minggu lalu, penceramah turut bercakap mengenai “10 sebab mengapa Kristian patut jadi Islam”.
Salinan buku terbitan Mais mengenai ancaman Kristianisasi dan tuduhan evangelis di kalangan umat Islam di Malaysia, diedarkan kepada lebih 1,000 pelajar yang mengikuti seminar itu.
Buku bertajuk “Pendedahan Agenda Kristian” itu memberi amaran kepada umat Islam untuk berhati-hati dengan helah Kristian untuk mempengaruhi umat Islam daripada kepercayaan mereka.
Buku itu juga mendakwa sebab utama berlakunya murtad di kalangan umat Islam adalah kerana Kristianisasi.
Buku “Kewajipan untuk mengekalkan Kesucian Nama Allah” menjelaskan kepada umat Islam mengapa orang bukan Islam, khususnya orang Kristian, tidak boleh dibenarkan menggunakan perkataan Allah.
Peguam Annou Xavier, yang akan membantu James dan Uthaya jika dipanggil ke ibu pejabat untuk merakamkan kenyataan, menggesa polis tidak membazir masa bagi menjalankan siasatan penuh, terutama ketika banyak insiden membabitkan sentiment agama berlaku di Malaysia, sejak akhir-akhir ini.
“Saya percaya seminar di UiTM bukan yang terakhir dan kita akan melihat lebih banyak forum diadakan di seluruh negara dengan agenda dan motif yang sama – untuk menghina agama Kristian,” katanya.
Xavier berkata, berdasarkan kepada aturcara majlis, jelas menunjukkan seminar itu dirancang dengan sempurna dan mendapat pengesahan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar, yang juga berada dalam jawatankuasa penganjur.
Sehubungan itu, katanya, mereka meminta polis menyiasat penganjur, universiti dan Mais, yang menerbitkan dua buku berkenaan yang boleh menghasut rasa benci terhadap Kristian.
Katanya, kes itu patut disiasat mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci atau berniat jahat atas sebab agama.
No comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.