Menu

Thursday, 15 May 2014

Jangan bawa forum keagamaan ke Malaysia Timur, kata orang Islam Sarawak

“Sebagai seorang Islam, kefahaman saya adalah Islam menghormati hak agama lain selagi mereka tidak memprovokasi Islam.

Seorang umat Islam berketurunan Melanau merupakan salah seorang rakyat Sarawak yang membuat laporan polis terhadap seminar menghentam agama Kristian dianjurkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) minggu lepas, dengan harapan acara seperti itu tidak dibawa ke Malaysia Timur di mana rakyatnya hidup dengan harmoni.

Abdul Halim Hamdian yang bekerja sendiri, membuat laporan polis di Balai Polis Dalat Jumaat lepas dan mengadu ucapan dalam seminar itu mempunyai kecenderungan menghasut.

Beliau berkata UiTM mempunyai kampus di Sarawak dan Sabah, dan beliau bimbang isu ini akan merebak ke Malaysia Timur yang mempunyai sejarah toleransi agama di kalangan rakyat.

“Sebagai seorang Islam, kefahaman saya adalah Islam menghormati hak agama lain selagi mereka tidak memprovokasi Islam.

“Jadi saya merasakan para panelis membuat kenyataan menghasut dan menyalahgunakan nama Islam untuk menimbulkan ketegangan dan ketakutan terhadap agama lain, terutamanya Kristian,” tulis Abdul Halim dalam laporan polisnya.

Abdul Halim juga berkata dalam laporannya, beliau mahukan pihak berkuasa menyiasat panelis dalam seminar tersebut kerana ia boleh dilihat sebagai menindas agama lain menggunakan nama Islam.

Paderi Mathew Igoh, 21, daripada badan bukan kerajaan (NGO) Kristian juga membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis di Kuching kerana beliau merasa tersinggung dengan seminar tersebut yang mengatakan agama Kristian sebagai satu ancaman.

Mengatakan ianya merupakan tuduhan tidak berasas, Mathew memberitahu The Malaysian Insider bahawa kawan-kawan Kristiannya yang kebanyakannya belajar di UiTM Kota Samarahan Sarawak, turut kecewa dengan serangan terhadap agama mereka di seminar tersebut.

"Rakan-rakan Islam saya turut memberitahu mereka marah dengan apa yang terjadi.

“Mereka berkata sepatutnya seminar itu boleh digunakan secara kontruktif untuk meperkukuhkan kedudukan Islam tanpa menyalahkan Kristian,” kata Mathew dalam wawancara melalui telefon dari Kuching.

Suzie Kulleh, 41 dari Kota Samarahan juga membuat laporan di balai polis Simpang Tiga minggu lepas, dan dalam laporannya tentang seminar yang dikatakan menindas agamanya itu tertulis ia dihadiri 1,000 pelajar, termasuk penganut Kristian dari Sabah dan Sarawak.

"Kenyataan menghasut diucapkan dalam seminar tersebut, seperti memberi maksud tersirat bahawa agama Kristian adalah sesat dan antara agama terburuk dunia, manakala Islamlah agama yang benar.

"Sebagai seorang Kristian, saya berasa panelis menghina agama saya," katanya dalam laporan polis yang menggesa pihak polis untuk melakukan siasatan.

Ericsen Johnny Pising, seorang juruteknik dari Bintulu juga membuat laporan polis minggu lepas dan mengatakan dia terkesan secara peribadi dengan kandungan seminar itu yang menghina agamanya.

Seminar 6 Mei itu melibatkan panelis dari Indonesia tanpa autoriti tentang agama Kristian, dan hadirin diberitahu bahawa paderi Kristian dihantar ke Malaysia dengan pelbagai samaran, termasuk sebagai jurulatih bola sepak kanak-kanak, untuk memurtadkan dan menyesatkan umat Islam.

Seminar yang membincangkan penggunaan kalimah Allah dan pengajian Kristian itu juga mengetengahkan topik '10 sebab mengapa Kristian patut menjadi Islam', serta memperkecilkan kitab Bible sebagai buku 'dongeng'.

Cetakan buku yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tentang bahaya Kristianisasi dan dakwaan penginjilan antara umat Islam di Malaysia juga diedarkan kepada lebih daripada 1,000 pelajar pada hari itu.

Buku yang bertajuk 'Pendedahan Agenda Kristian', memberi amaran kepada orang Islam supaya berhati-hati dengan 'muslihat' oleh Kristian yang bertujuan menggoncangkan iman mereka.

Buku itu juga mengatakan sebab utama mengapa ramai orang Islam murtad adalah kerana Kristianisasi.

Satu lagi buku yang bertajuk 'Obligation to preserve the sanctity of the name Allah' menjelaskan mengapa bukan Islam, terutamanya Kristian, tidak dibenarkan menggunakan perkataan 'Allah'.

Seminar tersebut dianjurkan bersama oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Pantai Bharu Group of Companies.

Peguam Annou Xavier menggesa pihak polis jangan melengahkan masa dan menyiasat laporan tentang seminar mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidakharmonian, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau sakit hati atas alasan agama.

Di Shah Alam, dua laporan polis dibuat oleh pensyarah kolej swasta, Perzeus James dan penulis Uthaya Sankar Naryanan, yang juga tidak berpuas hati tentang seminar itu yang dikatakan mencerca agama Kristian.

Lebih laporan polis dijangkakan akan dibuat di Shah Alam dan Sabah dalam beberapa hari ini.

No comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.