Rakyat menunggu-nunggu kepantasan, keberanian dan kebijaksanaan kepemimpinan kerajaan untuk menangani kes Isma dan UiTM..
BARU-baru ini, iaitu tidak lama selepas pemimpin Isma mengeluarkan kenyataan negatif terhadap orang Cina dan UiTM menganjurkan seminar yang mengandungi pandangan negatif terhadap agama Kristian, saya mengeluarkan status Twitter dan Facebook (yang dipetik oleh beberapa media), iaitu “hentikan sentimen anti-Cina dan anti-Kristian sebelum ia merebak menjadi sesuatu yang lebih buruk”.
Status itu mendapat dua jenis reaksi. Pertama, yang bersetuju dengan saya. Mereka menggunakan bahasa yang baik. Dan kedua, yang tidak bersetuju dengan saya. Kebanyakannya menggunakan bahasa yang kesat.
Di samping dua kes yang mutakhir ini, terdapat juga beberapa kes terdahulu, termasuk yang melibatkan sentimen terhadap orang Melayu dan agama Islam. Semua ini tidak baik untuk Malaysia, khususnya dari sudut perpaduan.
Kita perlu bersama-sama menegakkan perpaduan, integrasi, kesaksamaan dan tidak-diskriminasi. Kita perlu menerima setiap rakyat negara ini dengan seadanya, iaitu tanpa mengira agama, ras, keturunan, bahasa, tempat lahir dan gender, iaitu seperti yang terkandung dalam semangat kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan.
Oleh kerana kita menghayati demokrasi, maka, kita mendukung kebebasan bersuara. Tetapi, kebebasan tersebut mesti mengambil kira kemajmukan kita yang kompleks.
Sekiranya muncul suara-suara sumbang, maka, kita perlu menanganinya dengan kepantasan, keberanian dan kebijaksanaan. Ada kalanya, suara sumbang itu tidak lebih daripada perlakuan devian oleh seseorang individu atau perlakuan khilaf oleh sesebuah kumpulan.
Ia perlu ditangani dengan cara tertentu, termasuk diambil tindakan undang-undang yang adil, tetapi tak perlulah melatah sehingga ia dikira sebagai sesuatu yang lebih besar.
Adakalanya, terdapat individu atau kumpulan tertentu yang pada suatu masa dulu terkenal dengan suara sumbang, tetapi hari ini telah mula mengeluarkan suara kesederhanaan. Perubahan positif ini perlu digalakkan. Usahlah diungkit cerita lama.
Adakalanya, terdapat pula suara yang dianggap sumbang, tetapi ia sukar dibuktikan. Ini kerana suara yang dianggap sumbang itu mungkin disaluti dengan bahasa yang baik dan artikulasi yang bernas. Atau, sebenarnya, ia sememangnya bukan pun suara sumbang.
Ia adalah suara kritikal. Tetapi, bagi sesetengah pihak yang alergi dengan suara yang berbeza, apa lagi yang kritikal, maka, ia dianggap suara sumbang.
Apa yang membimbangkan ialah sekiranya suara itu memang benar-benar sumbang. Apa lagi kalau pencetusnya kelihatan asyik melakukannya, iaitu ia seperti dikeluarkan dengan bersiri dan sahut-menyahut antara satu pihak dengan yang lain.
Ia jadi tambah membimbangkan kalau ia mendatangkan persepsi masyarakat yang ia seakan-akan mendapat dukungan pihak atasan, contohnya, bantuan kewangan, tokoh tertentu merasmikan program dan tidak ditegur apabila mengeluarkan suara sumbang.
Sebenarnya, sudah sampai masanya untuk kita menangani “ucapan membenci” (hate speech), iaitu kata-kata, frasa atau ayat yang diungkapkan secara lisan atau tulisan, yang secara sengaja membenci sesuatu pihak, khususnya dari segi ras dan agama, dan elemen-elemen lain (contohnya keturunan, bahasa, tempat lahir dan gender).
Dalam konteks ini, kita mempunyai Akta Hasutan 1948. Tetapi, oleh kerana maksud hasutan dalam akta itu longgar, mudah mengenakan pihak dituduh, dan sering disalahgunakan, maka, sesuailah ia bakal dibatalkan, iaitu seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada tahun 2012.
Saya difahamkan kerajaan sedang menggubal satu akta baharu bagi menggantikan Akta Hasutan. Ia bermatlamat menghukum ucapan membenci sambil melindungi hak kebebasan bersuara.
Tetapi, sementara menunggu kelahiran akta baharu itu, rakyat menunggu-nunggu kepantasan, keberanian dan kebijaksanaan kepemimpinan kerajaan untuk menangani kes Isma dan UiTM ini, dan apa jua kes lain yang sewaktu dengannya.
No comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.