Sultan Sulu Jamalul Kiram III meninggal dunia

Monday, 21 October 2013

Sultan Sulu Jamalul Kiram III (gambar) yang dikaitkan dengan pencerobohan di Lahad Datu, Sabah dikatakan meninggal dunia awal pagi tadi.

The Star melaporkan Jamalul Kiram, 75, yang mendakwa dirinya pewaris kepada kesultanan Sulu dikatakan meninggal dunia akibat kegagalan organ.

Pada Februari lalu, pengikut Jamalul Kiram menceroboh perairan Lahad Datu, di Sabah dan mengakibatkan pertempuran dengan pasukan keselamatan negara. - 20 Oktober, 2013.

“Ayah saya Sultan Jamalul Kiram III telah kembali kepada penciptanya kira-kira jam 4.00 pagi ini 20 Oktober, 2013," tulis anak perempuannya, Puteri Jacel Kiram-Hasan melalui Facebook.

Jurucakap Kesultanan Sulu Abraham Idjirani berkata, menjelang kematiannya, Kiram telah mengarahkan dua adik beradiknya agar bersatu.

Kiram telah bercakap dengan Bantilan Sultan Esmail Kiram dan Raja Mudah Agbimuddin Kiram melalui telefon, kata Idjirani.

“Dia meminta kedua-dua adik beradiknya itu agar berusaha untuk mengembalikan Sabah kepada orang Filipina," kata Idjirani melalui telefon, lapor Yahoo News.

Kiram telah menjadi berita utama media Februari lalu apabila pengikutnya menyeberang ke Lahad Datu, Sabah dan akhirnya bertembung dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan ramai yang terkorban dari kedua-dua belah pihak.

Ketua dan beberapa ahli kumpulannya telah didakwa di mahkamah. Kerajaan Malaysia juga sedang memburu adiknya, Raja Agbimuddin Kiram.

Idjirani juga dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan kerajaan Malaysia dengan syarat ada penyertaan masyarakat antarabangsa.

"Kami percaya kepada Islam di mana kami sentiasa perlu patuh kepada pencipta kami iaitu Allah," katanya kepada Yahoo Asia Tenggara.

0 comments:

Post a Comment

Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.