Sepatutnya ada peningkatan dari segi tindakan kesediaan untuk menghadapi ancaman keselamatan. Malangnya kita lihat tiada langkah-langkah kecemasan tambahan untuk menjamin keselamatan.
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua membidas kerajaan kerana kegagalan menjaga perairan di Sabah ekoran satu lagi insiden penculikan yang berlaku awal pagi ini.
Menurut Tian Chua, Parlimen sering membahaskan mengenai Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) namun sehingga kini tiada sebarang peningkatan berhubung tindakan keselamatan berlaku.
“Kita dah ulang kali menyatakan keselamatan di Sabah ini adalah satu tempat berisiko tinggi. Parlimen sudah bahas mengenai ESSCOM.
“Sepatutnya ada peningkatan dari segi tindakan kesediaan untuk menghadapi ancaman keselamatan. Malangnya kita lihat tiada langkah-langkah kecemasan tambahan untuk menjamin keselamatan.
“Saya amat khuatir jika perkara ini berulang dan boleh menjatuhkan keyakinan pelancong,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Tambah Tian Chua lagi, sektor pelancongan negara sudah terjejas akibat kehilangan pesawat MH370 Mac lalu dan menteri dan agensi bertanggungjawab perlu menjawab perkara ini secara telus tanpa perlu memberikan alasan.
Pengurus syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mengendalikan ladang ikan warganegara China, Yang Zailin diculik di Silam, Lahad Datu pada jam 2.45 pagi tadi.
Perkara ini disahkan oleh Menteri Pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjun.
Dipercayai bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu telah melarikan diri ke arah selatan Filipina.
Ini merupakan kes penculikan kedua berlaku di Sabah dalam tempoh berdekatan.
Pada 2 April lalu, pelancong China Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja resort Marcy Darawan, 40, diculik dari Singamata Reef Resort di Semporna.
Kedua-duanya diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang menuntut tebusan di selatan Filipina. - Free Malaysia Today
Kredibiliti Esscom jadi taruhan
Menteri pelancongan Sabah Datuk Masidi Manjum menyatakan kekecewaannya dengan kejadian penculikan bersenjata yang menjadi-jadi di perairan negeri itu walau dengan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (Esscom).
“Cakap pun tiada guna... Harapan kita agar mereka yang berwajib melihat ini sebagai mencabar kewibawaan mereka – kredibiliti mereka yang dipertaruhkan!,” katanya di Twitter.
Masidi menjawab soalan dari seorang pengguna laman sosial tersebut yang bertanya mengapa kes seperti itu berterusan di Sabah.
Beliau ditanya bagaimana kumpulan lelaki bersenjata berjaya menembusi kawalan sempadan yang dikawal Esscom.
Masidi terdahulu mengesahkan bahawa seorang warga China dilarikan sekumpulan lelaki bersenjata di Pulau Baik, dekat Lahad Datu pada jam 2.45 pagi ini. - Malaysiakini
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.