Keselamatan rakyat Sabah tidak boleh dikompromi. Sempadan kita dengan mudah boleh dijaga jika semua bentuk perjalanan melalui laut terutamanya di Pantai Timur Sabah dihentikan serta-merta..
KOTA KINABALU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) tidak bertaring dan tidak berkuasa. Ia patut dimansuhkan dan diganti dengan pasukan keselamatan yang lebih efektif.
Kejadian culik warga China di Pulau Baik di Lahad Datu semalam (Selasa) kira-kira jam 2.45 pagi menunjukkan ESSCOM tidak mampu melakukan tugas dengan baik dan menjejaskan keselamatan penduduk tempatan, pelancong serta industri pelancongan Sabah.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Ghapur Salleh berkata, penduduk Sabah sudah bosan dengan kejadian culik yang berlaku silih berganti dengan yang terbaru, membabitkan pengurus ladang ikan dari China.
Ia berlaku kurang sebulan selepas seorang wanita juga dari China diculik di Pulau Siggamata dekat Semporna dan enam bulan selepas pasangan dari Taiwan juga diculik di sebuah resort di Pulau Pom Pom.
Kejadian culik di Pulau Pom Pom menyebabkan seorang daripada mangsa terbunuh. Mereka diculik untuk mendapatkan wang tebusan. Kegiatan jenayah ini dipercayai dilakukan kumpulan penjenayah dari selatan Mindanao.
“Penduduk Sabah semakin bosan dan marah. Mereka takut dengan keselamatan mereka manakala banyak agen tidak banyak perniagaan kerana pelancong dari China tidak lagi mahu datang di sini,” katanya.
Katanya, penduduk Sabah sudah bosan dengan janji-janji yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan.
Sementara itu aktivis politik, James Ligunjang sedih ia berlaku lagi dan seolah-olah kejadian itu kini menjadi rutin.
“Penyelesaiannya adalah mudah. Hentikan semua perjalanan dengan bot, kapal dan perdagangan tukar barang dengan Filipina selama beberapa tahun. Kenapa tidak benarkan semua perjalanan melalui udara sahaja di antara Zamboanga dan Sandakan?
“Kejadian ini akan berhenti serta-merta dan sempadan kita akan lebih selamat,” katanya ketika dihubungi FMT.
Menurutya, rakyat Sabah tidak mendapat sebarang faedah hasil daripada dasar sempadan terbuka di Pantai Timur, tetapi hanyah masalah.
James berkata, dengan menghentikan semua bentuk perjalanan dari Selatan Filipina, semua dagangan haram seperti penyeludupan rokok, dadah, penceroboh bersenjata dan kedatangan pendatang tanpa izin boleh dihentikan.
“Keselamatan rakyat Sabah tidak boleh dikompromi. Sempadan kita dengan mudah boleh dijaga jika semua bentuk perjalanan melalui laut dihentikan serta-merta,” katanya turut menyuarakan rasa bosan dengan kejadian culik yang semakin menjadi-jadi di Sabah.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee turut mengecam keselamatan yang goyah dibawah ESSCOM kerana sekali lagi ia gagal menghentikan kes culik.
“Kejadian terbaru ini sudah pasti akan semakin menjejaskan hubungan kita dengan China. Ia memalukan kerana ia berlaku di dalam perairan Sabah,” katanya mengulas kejadian terbaru itu.
ESSCOM merangkumi sepanjang 1,400km pantai timur Sabah dari Kudat hinggalah ke Tawau. Ia diwujudkan pada Mac tahun lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas pencerobohan militan di Tanduo.
Difahamkan, ESSCOM diberi peruntukan awal sebanyak RM200 juta dengan RM75 juta lagi diperuntukkan dalam bajet 2013 dan RM11 juta unuk melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf 62 pusat pemeriksaan.
0 comments:
Post a Comment
Important - The views expressed and the links provided on our comment pages are the personal views of individual contributors and do not necessarily reflect the views of Sabah Report.